Besut dan Setiu sebagai gedung makanan negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Besut dan Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan negara berada di landasan tepat menerusi pelaksanaan pelbagai projek berskala besar dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, antara projek mega yang dilaksanakan ialah Projek KETARA Fasa 2 di Besut dengan kos RM103 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Pakej A melibatkan pembinaan saliran pengairan dari Empangan Paya Peda ke Sungai Renek yang kini berada pada peringkat pengambilan tanah.

“Projek ini bakal memberi manfaat kepada beberapa skim pengairan padi seperti Skim Kepala Gajah, Gong Ubi Keling, Tempinis Bukit Jeruk, Padang Lengkuas, Gong Telikong dan Gong Machang.

“Selepas perlaksanaan Pakej A, cadangan untuk meneruskan Pakej B sehingga ke Skim Che Mohid di Setiu dengan anggaran bajet RM137 juta akan dikemukakan kepada BPSP KPKM,” katanya.

Beliau menjawab soalan Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Riduan dalam soalannya meminta kerajaan negeri menyatakan sejauh manakah perkembangan usaha menjadikan Besut dan Setiu sebagai gedung makanan negara ini.

Azman berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada tanah sawah seluas 735 hektar di Skim Pengairan Kampung Jelapang Langkap, Setiu, yang sebelum ini terbiar sejak 2007.

“Skim yang dibuka dengan kos kira-kira RM47 juta dapat ditanam padi. Kini sebahagian dari sawah padi yang sekian lama terbiar sedang dimajukan secara berperingkat oleh Syarikat Qudsi Global bersama TADC.

“Kehijauan mula menghiasi projek yang sebelum ini suram dan muram. Sawah kita, sumber makanan kita. Usaha kita sebagai hamba dengan pertolongan Yang Maha Esa,” katanya.

Mengulas mengenai sektor penternakan, beliau berkata, kerajaan negeri berjaya menghidupkan semula Reban Ayam Baruh Masin, Hulu Besut, yang sebelum ini terbiar sejak 2015.

“Reban Ayam Baruh Masin Hulu Besut merupakan aset milik Kerajaan Negeri yang dibina dengan kos jutaan ringgit. Infrastruktur ternakan ayam dengan sistem reban tertutup bernilai jutaan ringgit ini terbiar dan menjadi mangsa vandalisme sejak tahun 2015 lagi.

“Kos yang besar diperlukan untuk baik pulih menyebabkan ia terbiar agak lama. Alhamdulillah, kita ikhtiar dapatkan dana untuk baiki dan majukan kembali. Terima kasih kepada KPKM yang menyalurkan dana lebih RM700,000 di bawah program kerjasama KPKM dan kerajaan negeri untuk pembaikian dan naik taraf reban ayam ini.

“Pada bulan Mei 2025, penghuni pertama reban ini sebanyak 26,000 ekor telah dimasukkan dan dikutip hasilnya pada bulan Jun lepas,” katanya.

Tambah beliau, bagi memperkukuh infrastruktur pertanian, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.3 juta untuk menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor, Besut, RM430,000 untuk TKPM Rhu Tapai, Setiu, serta peruntukan tambahan untuk beberapa skim pengairan lain.

“Sebanyak RM400,000 untuk naik taraf Skim Pengairan Pengkalan Nangka, RM400,000 untuk naik taraf Skim Pengairan Sri Pinang dan RM200,000 untuk Skim Pengairan Tok Saboh Besut,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, dalam sektor perikanan, 18 unit tukun kuboid dilabuhkan di perairan Kuala Besut dan Merang, Setiu, bagi menghalang aktiviti pukat tunda.

Katanya, kerajaan juga memulihkan pusat pembenihan ikan marin di Setiu dengan kos lebih RM7 juta, khusus bagi pengeluaran ikan siakap, kerapu hibrid, serta udang harimau dan udang putih.

“Pusat Pembenihan ini asalnya bangunan terbiar milik Jabatan Perikanan Malaysia. Ia dipulihkan dengan dimasukkan infrastruktur dan peralatan baru, dilengkapi sistem saluran air terus dari laut dan dibina kolam-kolam ternakan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, perancangan untuk mengoperasikan ‘hatchery’ itu ke tahap optimum ialah agenda lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke China baru-baru ini.

“Anak syarikat kerajaan negeri TADC sedang berkerjasama dengan sebuah syarikat pelabur tempatan SMA Berkat yang mendapat sokongan kepakaran dari pengusaha akuakultur di China,” katanya.

Selain itu, kata beliau, beberapa projek pertanian lain turut dilaksanakan, antaranya penanaman pisang berangan seluas 120 ekar di Pak Kancil, Setiu; penanaman kelapa di Gong Katup, Setiu; projek penternakan ayam di Gong Kiong, Setiu; dan projek kelapa matag seluas 1,200 ekar di Kampung Banggol, Setiu.

Menurut Azman, jeti nelayan sepanjang 90 meter di Beting Lintang, Besut, turut hampir siap dengan kos RM500,000 bagi memudahkan pendaratan hasil nelayan.

“Sebahagian senarai projek bersaiz besar yang sedang dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -