Kenaikan tarif AS cerminan diplomasi ekonomi PMX gagal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat melahirkan rasa dukacita di atas kenaikan tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport negara yang disifatkan sebagai satu kegagalan diplomatik serta ekonomi kerajaan.

- Advertisement -

Ketuanya, Balasubramaniam Nachiappan berkata, Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada eksport perlu lebih proaktif dalam diplomasi perdagangan dan mengelakkan sebarang tindakan balas keras daripada kuasa besar seperti AS.

“Tindakan balas ini membayangkan kegagalan PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan pasukan kerajaan Madani dalam menangani ketegangan perdagangan lebih awal, sama ada berkaitan dengan isu dasar perindustrian.

“Atau geopolitik. Ia juga menggambarkan kegagalan dalam membina persefahaman bersama melalui diplomasi ekonomi atau dialog dua hala yang berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, DHPP kesal dengan sikap PMX yang mendakwa Malaysia menerima pelaburan besar dan dihormati di peringkat antarabangsa, walhal tarif yang dikenakan itu membuktikan hubungan perdagangan Malaysia-AS sebenarnya rapuh.

“Malah mungkin tidak dihormati sebagai rakan strategik yang benar-benar setara. Secara tidak langsung, ini menimbulkan persoalan di kalangan rakyat Malaysia adakah PMX lebih cenderung kepada retorik dan persepsi.

“Sedangkan rundingan substantif dengan kuasa besar ekonomi gagal mencapai hasil? Di manakah hasil ‘lawatan kerja’ ke AS yang kononnya membuahkan pelaburan tetapi gagal mencegah tindakan merugikan rakyat Malaysia sendiri?” soalnya.

Tegas beliau, kegagalan untuk mencegah tindakan yang merugikan rakyat Malaysia ini turut menimbulkan tanda tanya terhadap keberkesanan lawatan kerja PMX ke AS yang sebelum ini digambarkan kononnya membuahkan hasil pelaburan besar.

Katanya, tindakan dilakukan AS itu mencerminkan kegagalan Malaysia memposisikan dirinya secara berkesan dalam percaturan global, sekali gus menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

“Walaupun hubungan perdagangan antara negara tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang individu, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, PMX memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan perdagangan antarabangsa.

“Dan perlindungan kepentingan nasional. Maka, dalam konteks ini, kenaikan tarif oleh AS boleh dianggap sebagai salah satu kegagalan utama dalam pendekatan diplomasi ekonomi kerajaan Madani,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import berkenaan, iaitu satu peratus lebih tinggi berbanding diumumkan sebelum ini akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos 2025.

Trump mendakwa langkah itu diambil bagi ‘melindungi industri tempatan Amerika Syarikat’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -