
KLUANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang (DPPK Kluang) menyuarakan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap siri kemalangan jalan raya mutakhir ini, khususnya yang melibatkan kanak-kanak sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Ketua DPPK Kluang, Muhammad Nazirul Munir Puniran berkata, tragedi terbaru membabitkan van sekolah yang membawa 22 murid bertembung dengan treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Johor Bahru, benar-benar mengejutkan dan menyayat hati.
“Dalam masa yang sama, baru-baru ini negara turut digemparkan dengan kes kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“(Ia) insiden tragik yang menimbulkan persoalan serius tentang kegagalan sistem keselamatan jalan raya negara dan pengawasan terhadap kenderaan awam,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, nyawa rakyat, khususnya generasi muda, seolah-olah semakin tidak terjamin walaupun hanya dalam perjalanan ke sekolah atau kampus.
Katanya, kejadian demi kejadian yang berlaku jelas menunjukkan tahap penguatkuasaan, pemantauan dan tanggungjawab pihak berwajib masih di tahap yang perlu dipertingkatkan.
Sehubungan itu, DPPK Kluang menggesa kerajaan melakukan audit menyeluruh ke atas operasi kenderaan sekolah dan bas ekspres.
“Kementerian Pengangkutan serta agensi berkaitan perlu mengambil tindakan drastik melakukan audit terhadap semua van dan bas sekolah serta syarikat pengangkutan awam termasuk ekspres yang melibatkan pelajar.
“Keadaan fizikal kenderaan, kelayakan pemandu serta pematuhan kepada standard keselamatan perlu dikaji semula secara tegas,” gesanya.
Selain itu, beliau berkata, siasatan dan pendedahan punca kemalangan juga perlu dilakukan dengan telus kerana rakyat berhak mengetahui punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa.
“Jangan biarkan kes seperti ini tenggelam begitu sahaja tanpa sebarang ketelusan dan tindakan lanjut,” tegasnya.
Tambah beliau, undang-undang dan tindakan terhadap pihak yang cuai juga mesti diperketatkan.
“Jika terbukti ada unsur kecuaian, kelalaian atau kegagalan mematuhi SOP keselamatan, tindakan tegas perlu diambil ke atas pengusaha, syarikat atau individu yang bertanggungjawab,” serunya.
Dalam masa sama, DPPK Kluang katanya turut menggesa agar kesedaran dan budaya selamat di jalan raya ditingkatkan menerusi pendidikan keselamatan jalan raya yang dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di peringkat sekolah dan komuniti setempat.
“DPPK Kluang menegaskan bahawa nyawa anak-anak dan pelajar bukan statistik semata-mata. Mereka adalah amanah, harapan keluarga dan bakal mencorak masa depan negara.
“Tidak sepatutnya mereka terkorban hanya kerana kecuaian pihak lain atau kegagalan sistem yang seharusnya melindungi mereka,” tambahnya.
Beliau menegaskan, kerajaan, agensi berkaitan dan pengusaha kenderaan awam perlu melihat isu itu sebagai krisis nasional yang memerlukan tindakan segera dan berimpak tinggi.
“Jangan tunggu lebih ramai mayat bergelimpangan di jalan raya sebelum mula bertindak,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025











