
KOTA BHARU: Bekas Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menzahirkan penghargaan kepada tiga kelab iaitu WTS FC, KRW FC dan KDN FC yang tampil menggalas cabaran Kelantan dalam saingan Liga Super dan Liga A1 musim 2025-26.
Menurutnya, ketiga-tiga pasukan tersebut memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula arena bola sepak negeri Kelantan selepas pelbagai cabaran besar melanda sukan itu.
Katanya, dalam situasi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung, pasukan The Red Warriors terkubur, dan Kelantan DN berdepan risiko penyingkiran serta sekatan perlesenan, kemunculan tiga pasukan ini dianggap sinar baharu bagi bola sepak negeri ini.
“Kerjasama antara ketiga-tiga pasukan amat penting demi memastikan kelangsungan dan kekuatan bola sepak Kelantan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, WTS FC, KRW FC dan KDN FC akan berkongsi stadium yang sama serta sokongan penyokong yang sama, dengan satu misi bersama iaitu menghidupkan bola sepak Kelantan dan mengharumkan nama negeri tercinta.
“Ketiga-tiga kelab tentunya terpaksa melabur wang, berkorban tenaga dan masa serta mengerah keringat dan kepakaran untuk menghidupkan bola. Saya tahu, ia sesuatu yang tidak mudah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar bersatu dan turut sama menyumbang dalam apa jua bentuk demi menyokong pasukan-pasukan Kelantan.
Kesungguhan yang ditunjukkan oleh WTS FC, KRW FC dan KDN FC diharap dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan penyokong dan rakyat Kelantan, sekali gus memulihkan kegemilangan bola sepak negeri ini di peringkat nasional. – HARAKAHDAILY 29/6/2025











