
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk tidak menjadikan cukai sebagai jalan pintas dalam usaha menambah hasil negara, sebaliknya memperkukuh tadbir urus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan lestari.
Dato’ Ridza Abdoh Salleh berkata, tindakan menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik ketika rakyat bergelut dengan tekanan kos sara hidup adalah langkah yang tidak berperikemanusiaan serta mencerminkan kehabisan idea dalam pentadbiran.
“Cukai adalah cara paling mudah untuk menambah hasil. Sesiapa pun boleh buat hanya semak dan naikkan kadar dalam sektor makanan, pakaian, elektrik dan air. Misi tercapai. Tapi ini bukan solusi jangka panjang,” katanya.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad itu menegaska , sejarah telah membuktikan bahawa negara pernah mencatatkan pembangunan pesat meskipun cukai kekal rendah.
Katanya, pada era 1980-an hingga awal 2000-an, kadar SST hanya lima peratus, namun pelbagai projek mega seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Pengangkutan Rel Ringan (LRT), Menara Telekom, Putrajaya, Cyberjaya dan Jambatan Pulau Pinang tetap berjaya direalisasikan.
“Kalau dulu dengan cukai rendah pun kita boleh bina negara, mengapa sekarang rakyat perlu terus dibebankan? Jawapannya jelas kelemahan dalam tadbir urus dan kegagalan mencipta idea baharu,” tegas beliau.
Dato’ Ridza turut mempersoalkan keuntungan besar syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk penurunan tarif atau penyaluran subsidi.
“Jika benar kerajaan mendahulukan rakyat, hentikan segera cadangan kenaikan SST dan tarif TNB. Jangan terus menekan golongan B40 dan M40 yang sudah sedia terhimpit,” katanya lagi.
Beliau menyarankan agar kerajaan menilai semula sikap serta pendekatan pentadbiran semasa, dan tidak menjadikan cukai serta pemotongan subsidi sebagai ‘penyelesaian segera’ terhadap segala permasalahan kewangan negara.
“Apa yang kita perlukan bukan cukai lebih tinggi, tetapi keberanian untuk melakukan reformasi struktur dan meningkatkan integriti serta kecekapan dalam pentadbiran,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/6/2025











