Iran diserang: Kerajaan didesak bertindak tegas

Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengecam keras tindakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang disifatkan mencetuskan ketegangan serius dan boleh mengheret Asia Barat ke dalam konflik lebih besar serta tidak terkawal.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan ketenteraan ‘unilateral’ bukan sahaja melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, malah mencetuskan konflik besar di rantau itu yang mengancam keselamatan jutaan nyawa termasuk orang awam.

“Serangan ini juga dilihat sebagai agenda berterusan geopolitik Amerika Syarikat yang memihak secara membuta-tuli kepada Israel, walaupun dunia antarabangsa menyaksikan pencabulan hak asasi kemanusiaan yang berterusan oleh negara itu di bumi Palestin.

“Dalam keadaan sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada keganasan mana-mana negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, Ahli Parlimen Larut itu menggesa kerajaan lebih tegas mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bersidang bagi menghentikan keganasan Israel dan AS serta menegakkan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia juga perlu segera bekerjasama dengan ‘like-minded countries’ (negara-negara yang mempunyai pendirian sama) dalam menangani krisis ini secara adil dan saksama,” katanya.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan negaranya telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah penting di Fordo, selain Natanz dan Esfahan.

Pengumuman Trump itu dibuat hanya dua hari selepas beliau mendakwa akan membuat keputusan dalam masa ‘dua minggu’, sama ada mahu menyertai sekutu utamanya, Israel untuk menyerang Iran.

Iran sebelum ini menegaskan untuk bertindak balas terhadap pangkalan tentera AS di Asia Barat sekiranya Trump melancarkan serangan, tetapi Presiden AS itu mendakwa bahawa ‘inilah masanya untuk keamanan’. – HARAKAHDAILY 23/6/2025

- Advertisement -