
AYER KEROH: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin menggesa kerajaan menamatkan terus penggunaan tapak pelupusan sampah di Sungai Udang dengan memastikan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) yang dirancang mampu memproses semua sisa pepejal di Melaka.
Beliau berkata, walaupun pembinaan loji WTE oleh konsortium yang diketuai anak syarikat Malakoff Corporation Bhd disambut baik, beberapa isu kritikal perlu ditangani segera termasuk kapasiti sebenar loji yang dilaporkan hanya sekitar 970 tan sehari berbanding jumlah sisa yang mencecah 1,300 tan sehari.
“Saya pernah membangkitkan isu ini di Parlimen, baik melalui sesi perbahasan mahupun sesi soalan jawab bertulis agar kerajaan segera menyelesaikan masalah pencemaran bau dan sungai yang menjejaskan penduduk, petani dan penghusaha tanaman sayur-sayuran di Paya Rumput hingga ke Lereh.
“Loji ini dilaporkan mampu memproses sekitar 1,000 tan sisa pepejal sehari. Projek yang telah lama tertangguh ini bernilai RM660 juta dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang 2029,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, tindakan menghenti tapak pelupusan sampah (landfill) dan diganti dengan WTE itu adalah selari dengan komitmen terhadap konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Selain, matlamat pembebasan karbon sifar bersih menjelang 2050, projek ini berpotensi menyahkan sekitar 250,000 tan karbon setahun dan menjana 22 megawatt (MW) tenaga elektrik boleh baharu.
“Dalam sesi libat urus bersama pihak Malakoff, dinyatakan bahawa kapasiti sebenar loji ini adalah sekitar 970 tan sehari, walaupun dilaporkan di dalam media sebanyak 1,000 tan. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Mengulas lanjut Bakri berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh mengambil kira peningkatan populasi dan pembangunan perumahan yang bakal meningkatkan jumlah sisa pepejal di masa hadapan.
“Pada masa ini, pusat pelupusan sisa di Sungai Udang menerima sekitar 1,200 hingga 1,300 tan sehari. Ini bermakna loji WTE ini berkemungkinan besar tidak mampu memproses keseluruhan jumlah sisa dan kaedah pelupusan secara pelupusan sampah akan terus digunakan.
“Pusat pelupusan secara pusat pelupusan sampah di Sungai Udang sepatutnya sudah dihentikan operasinya sejak beberapa tahun lalu, namun ia masih diteruskan dengan penambahan sel baharu.
“Kesan pencemaran udara dan sungai masih menjadi isu. Sekiranya kapasiti loji WTE tidak mencukupi, pencemaran bau dan sungai akan terus berlaku disebabkan oleh kaedah tapak pelupusan sampah yang diteruskan meskipun pada kadar yang lebih rendah,” katanya.
Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, beliau telah mengadakan sesi libat urus bersama Malakoff, penduduk dan kawasan sekitarnya perlu diberikan keutamaan dari segi peluang pekerjaan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Mereka sudah lama menanggung kesan negatif seperti bau busuk dan pencemaran sungai. Kini, mereka wajar diberi peluang untuk meraih manfaat daripada projek ini, terutama dalam usaha meningkatkan sosioekonomi setempat.
“Projek WTE ini dilaksanakan secara kerjasama Awam-Swasta tanpa memberi kesan langsung kepada kewangan negara serta melibatkan tempoh pengoperasian selama 34 tahun,” katanya.
Justeru, beliau menggesa agar kerajaan menilai semula kapasiti pemprosesan loji ini supaya diselaraskan dengan jumlah sebenar sisa pepejal yang diterima setiap hari.
“Langkah ini penting bagi memastikan loji ini benar-benar berfungsi secara optimum dan seterusnya menghentikan sepenuhnya proses pelupusan sisa pepejal melalui kaedah pelupusan sampah yang telah sekian lama menyumbang kepada pencemaran alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2025











