
KALABAKAN: Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) bukan sahaja menyaksikan semangat kesukanan anak-anak, malah menjadi medan memperkukuh kesatuan di antara ibu bapa, guru dan komuniti khususnya Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru (JIBG).
Bahkan BSBJ menjadi isyarat menyokong perjuangan PAS Kalabakan menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Sehubungan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Dullah, menyatakan penghargaan besar kepada seluruh JIBG yang terus teguh bersama PASTI dan PAS kawasan dalam pelbagai program.
“Kita melihat kesatuan JIBG hari ini sebagai bukti sokongan dan kepercayaan berterusan kepada PAS Kalabakan.
“Insya-Allah dalam PRN Sabah nanti, kita akan pastikan PAS meletakkan sekurang-kurangnya satu calon di DUN Tanjung Batu,” katanya semasa merasmikan BSBJ 2025 PASTI Pra Tahfiz Kalabakan di Kompleks Sukan Tawau, hari ini.
Ahmad juga menyeru semua pihak untuk memilih pemimpin yang bersih, amanah dan berintegriti demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.
“Jika negara dipimpin oleh mereka yang berintegriti, manfaat akan sampai kepada semua. Tetapi jika sebaliknya, maka manfaat itu akan terputus.
“Kejohanan ini menjadi bukti bahawa pendekatan pendidikan PASTI tidak hanya tertumpu kepada akademik, bahkan membina sahsiah, fizikal dan emosi anak-anak secara seimbang dengan sokongan padu ibu bapa dan masyarakat,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan.
Ahmad berharap, semangat kesatuan itulah yang menjadi kekuatan dan mengajak pengunjung sama-sama membina ‘Tanjung Batu Sejahtera’ bersama.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pemuda PAS Kalabakan atas penganjuran kejohanan tersebut yang mana program itu terus menyantuni pelajar, guru dan ibu bapa.
Tambahnya, anak-anak bukan sahaja dididik di dalam kelas, tetapi juga di padang, dengan nilai disiplin, kerja berpasukan dan ukhuwah Islamiah.
Sebanyak lapan pasukan bola sepak dan tujuh pasukan bola jaring bertanding dalam kejohanan kali ini, yang turut diserikan dengan aktiviti khas untuk ibu bapa seperti sepak penalti dan lontaran bola jaring sebagai simbol penyatuan keluarga besar PASTI.
Bagi acara bola sepak, johan disandang oleh PASTI Pra Tahfiz Al Fawwaz manakala naib johan PASTI Pra Tahfiz As Syuhada.
Manakala bagi acara bola jaring pula, johan disandang oleh Pra Tahfiz Al Amin manakala naib johan pula PASTI Pra Tahfiz AL Furqan. – HARAKAHDAILY 22/6/2025











