PERKASA desak SIS Forum mesti segera diharamkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali menggesa pihak kerajaan agar segera mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.

- Advertisement -

Menurut beliau, sejarah sebelum ini menunjukkan bahawa pertubuhan seperti Al-Arqam pernah diharamkan kerana membawa dan menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan Islam walaupun ia bukanlah ‘orang sebenar’.

“Jika pertubuhan itu membawa sesuatu perkara yang tidak betul seperti mana Al-Arqam yang dahulunya diharamkan, maka SIS wajib juga diharamkan kerana ia membawa perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

“Kerana pemimpin-pemimpinnya telah membuat perkara-perkara atau mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai fahaman sesat oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya kepada Harakahdaily, di sini semalam.

Beliau turut mencadangkan agar pihak MAIS mengambil tindakan undang-undang dan mengadakan sesi kaunseling bersama pimpinan SIS bagi memastikan akidah mereka tidak terus terpesong.

“Seperti mana yang dibuat kepada Al-Arqam dan GISB (Global Ikhwan Sdn Bhd), pemimpin-pemimpin mereka (SIS) juga perlu diberikan kaunseling untuk memperbetulkan pendekatan mereka tentang Islam,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS Forum Malaysia.

Menurut mahkamah tertinggi negara itu, fatwa yang dikeluarkan pada 2014 itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.

Ia bagaimanapun menyatakan, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas sebarang tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa itu, adalah kekal terikat dengan fatwa berkenaan. – HARAKAHDAILY 21/6/2025

- Advertisement -