
PEGUAM-peguam kita yang mempertahankan fatwa tidak kalah. Fatwa tetap diiktiraf. Tapi, kumpulan liberal SIS juga anggap diri mereka tidak kalah, kerana nama SIS telah dipotong dari fatwa. Dua-dua nampaknya tidak kalah. Siapa yang kalah?
Kita khuatir yang kalah sebenarnya ialah badan kehakiman, yang dikalahkan oleh keinginan untuk membuktikan bahawa mereka ada kuasa untuk sempitkan bidang kuasa fatwa. Mereka kalah dengan keinginan itu hingga akhirnya memberi kesan kepada keutuhan institusi fatwa dalam negara.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan, bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan, telah menyempitkan skop fatwa.
Pertama dari sudut sasaran fatwa. Mahkamah mengehadkan sasaran fatwa hanya untuk individu manusia. Tidak boleh fatwa untuk pertubuhan, kumpulan, syarikat, organisasi dan sebagainya. Jadi bila fatwa itu mengatakan SIS sesat, maka fatwa itu tidak sah kerana SIS bukan individu manusia.
Rujukan mahkamah ialah Butiran 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan yang menyebut skop bidang kuasa hanya meliputi ‘persons professing the religion of Islam’;
Kedua, dari sudut skop fatwa. Perenggan 2 dan 3 fatwa menyebut:
“2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.”
“3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.”
Mahkamah kata kedua-duanya dibatalkan kerana ‚menyentuh perkara-perkara yang mana responden-responden tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuatnya di bawah Butiran 1’
Betulkah pendirian mahkamah itu?
Nampaknya ada kekeliruan berkaitan fungsi Jadual Kesembilan. Sebenarnya Jadual Kesembilan bertujuan untuk menentukan skop ‘kuasa negeri dan Persekutuan membuat undang-undang’. Skop ini penting supaya tidak berlaku percanggahan. Skop ini juga digunakan untuk agihan dalam kuasa pentadbiran. Boleh rujuk Perkara 74(1) dan Perkara 80(1) Perlembagaan Persekutuan.
Skop membuat undang-undang dan skop kuasa pentadbiran sepatutnya tidak mengikat skop fatwa.
Skop kuasa perundangan dan pentadbiran diperlukan, untuk elakkan pertindihan atau pertembungan kuasa antara negeri dan Persekutuan. Tapi masalah pertembungan Persekutuan-negeri tidak berlaku dalam soal fatwa, kerana fatwa hanya melibatkan kuasa negeri. Jadi skop dalam Jadual Kesembilan tidak perlu dirujuk. Islam agama syumul, jadi fatwa boleh meliputi apa sahaja yang berkaitan Islam.
Pendirian yang tepat ialah pendirian dalam penghakiman minoriti yang disuarakan oleh Yang Arif Dato’ Abu Bakar Jais yang cenderung kepada prinsip bahawa Mahkamah Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Kita berharap keputusan majoriti yang ditulis oleh Ketua Hakim Negara ini tidak diikuti dalam penghakiman akan datang. Perlembagaan Persekutuan selama ini dirujuk sebagai asas kepada keutuhan institusi fatwa, tapi jika tafsiran rigid ini sukar dirungkaikan, maka wujud keperluan untuk pinda Perlembagaan agar disebut secara jelas skop fatwa yang tidak terhad kepada Butiran 1 itu.
Moga Allah memberikan hidayah kepada kita semua ke arah kebaikan.
PROFESOR MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 21/6/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1EqZyk32Y1/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












