
KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penggunaan nama ‘Sisters in Islam’ (SIS) oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita liberal wajar dipandang serius oleh seluruh umat Islam.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, titah itu hadir tepat pada masanya ketika umat Islam berdepan cabaran liberalisme, pluralisme, sekularisme dan relativisme moral yang mengancam akidah dan pemikiran.
“Baginda bukan bercakap sebagai individu biasa, tetapi sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak.
“Penggunaan nama ‘Islam’ secara bebas oleh mana-mana entiti bukan hanya mengelirukan, tetapi boleh menjadi pintu masuk kepada kekeliruan akidah dan penyimpangan pemikiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa nama ‘Islam’ bukanlah label yang boleh digunakan sesuka hati kerana ia membawa implikasi terhadap syariat dan persepsi umat.
“Kita semua berhak untuk bersuara, tetapi bila seseorang atau sesebuah pertubuhan menggunakan nama ‘Islam’, maka secara automatik mereka mengangkat nama agama Allah SWT.
“Adakah wajar sebuah NGO yang jelas membawa pendekatan tafsiran Islam yang bercanggah dengan jumhur ulama, terus memakai nama ‘Islam’? Ini bukan soal sekat kebebasan.
“Tapi soal menjaga maqasid agama iaitu memelihara Islam dari disalah erti, disalah tafsir dan disalah guna,” tegasnya.
Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menyatakan fatwa tidak terpakai kepada syarikat berdaftar seperti SIS, beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut hanya bersifat teknikal dari sudut undang-undang.
“Namun dalam konteks umat dan akidah, kita tidak boleh hanya bergantung kepada tafsiran undang-undang semata-mata tanpa mengambil kira implikasi agama dan tanggungjawab sosial,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar peranan Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama Islam terus dipelihara, serta memperkukuhkan institusi agama agar tidak dilihat lemah atau diketepikan dalam isu-isu besar seperti ini.
Titah Sultan Selangor, ujarnya, perlu dilihat sebagai satu teguran penuh kasih sayang terhadap mana-mana pihak yang dilihat berpotensi menyalahgunakan nama Islam untuk agenda yang boleh menyesatkan masyarakat.
“Saya mengajak seluruh umat Islam agar kita kembali kepada asas perjuangan, menegakkan kebenaran dengan ilmu, berpegang kepada warisan ulama dan tidak sewenang-wenangnya mengangkat nama suci Islam untuk tujuan yang mengelirukan umat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











