
SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Selangor menegaskan bahawa fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam masih kekal sah dan tidak terbatal.
Ketuanya, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, keputusan majoriti menyatakan bahawa fatwa tersebut adalah sah dan individu yang berpegang kepada fahaman itu hendaklah segera bertaubat serta kembali kepada ajaran Islam.
“Walaupun perbuatan melanggar fatwa tidak terpakai kepada sebuah syarikat, pertubuhan atau institusi seperti SIS (Sisters in Islam) Forum, namun individu yang menguruskan entiti itu masih terikat dengan fatwa dan bertanggungjawab atas perbuatan melanggar fatwa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong itu, keputusan rayuan oleh pihak mahkamah tidak membatalkan fatwa, dan pengisytiharan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat masih berkuat kuasa.
“Gerakan yang membawa ideologi ini masih menjadi ancaman kepada akidah umat Islam dan berbahaya kepada masayarakat. Umat Islam diseru menjauhi dan berwaspada dengan agenda gerakan ini yang dibuat atas nama hak asasi manusia,” ujarnya.
Justeru, PAS Selangor menggesa kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar mengambil langkah tegas dalam mempertahankan kuasa dan kedaulatan institusi agama Islam negeri.
Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Mahkamah dalam keputusannya memutuskan perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan seperti sebuah syarikat. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











