Gajet dan kanak-kanak: Fitrah terhakis dalam dunia digital

- Advertisement -

DALAM arus kemajuan teknologi hari ini, peranti digital seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan sebagainya, bukan lagi sekadar alat komunikasi dan hiburan, bahkan ia sudah menjadi sebahagian besar daripada gaya hidup harian masyarakat, termasuk dalam kalangan kanak-kanak. Keterdedahan kepada gajet sejak usia yang sangat muda bukan lagi perkara asing, malah dianggap sebagai satu norma baharu dalam membesarkan anak-anak.

- Advertisement -

Anak-anak kita kini sedang membesar dalam era digital yang amat rancak. Mereka dianggap sebagai ‘digital native’ kerana dilahirkan dalam dunia yang telah dipenuhi teknologi canggih.

Namun, kemajuan ini datang bersama cabaran besar, terutamanya apabila kanak-kanak mula menunjukkan kebergantungan terhadap gajet dalam hampir setiap aspek kehidupan mereka. Situasi ini bukan sekadar satu fenomena tetapi ia menimbulkan persoalan mendalam tentang kesan jangka panjang ke atas perkembangan fizikal, kognitif, sosial dan rohani mereka.

Peranan ibu bapa sebagai penentu

Apa yang membimbangkan, peranan ibu bapa sendiri sering kali menjadi pendorong kepada kebergantungan ini. Dalam kesibukan mengurus rumah tangga dan kerjaya, ramai ibu bapa memilih jalan pintas dengan memberikan gajet kepada anak-anak sebagai alat untuk memujuk, menenangkan atau mendiamkan mereka. Tanpa disedari, tindakan ini sebenarnya mengundang kesan jangka panjang yang sangat besar terhadap tumbesaran fizikal, kognitif dan sosial anak-anak.

Dalam konteks Islam, tanggungjawab mendidik anak bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi membimbing dan mendidik mereka secara seimbang dan bersepadu mencakupi aspek rohani, jasadi, emosi dan aqli dengan mengambil kira fitrah mereka sebagai insan yang sedang berkembang dan membesar.

Apabila gajet dijadikan pengganti kepada kasih sayang, perhatian dan interaksi yang sepatutnya datang daripada ibu bapa, maka hal ini merupakan satu kekhilafan besar yang boleh menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak serta melemahkan nilai kekeluargaan yang sepatutnya menjadi teras dalam institusi keluarga Islam.

Kesan kepada perkembangan fizikal dan kognitif

Menurut kajian, penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh menjejaskan perkembangan motor halus yang sangat penting untuk aktiviti seperti menulis, melukis dan menggunting. Ini kerana pergerakan tangan ketika bermain gajet tidak melibatkan otot-otot halus secara aktif. Akibatnya, kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran ketika memasuki alam persekolahan yang memerlukan koordinasi motor yang baik.

Lebih merisaukan, penggunaan gajet yang tidak terkawal boleh mengganggu perkembangan bahasa dan pertuturan, melemahkan tumpuan serta menyebabkan gangguan tidur. Semua ini berpunca daripada pendedahan terlalu lama kepada skrin dan kurangnya interaksi secara langsung dengan orang sekeliling.

Aktiviti penting seperti bermain bersama rakan, berkomunikasi dengan ibu bapa, dan meneroka persekitaran sebenar semakin terpinggir kerana gajet telah mengambil alih masa dan perhatian kanak-kanak.

Impak terhadap interaksi sosial dan emosi

Dari sudut sosial pula, kebergantungan terhadap gajet menghalang kanak-kanak untuk bersosial dan membina kemahiran insaniah. Mereka lebih selesa dengan dunia maya yang interaktif dan penuh rangsangan visual berbanding dunia nyata yang memerlukan empati, kesabaran dan komunikasi dua hala.

Dalam jangka masa panjang, ini boleh mencetuskan masalah tingkah laku, kurang keyakinan diri dan ketidakupayaan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat yang mungkin akan menyebabkan anak-anak menjadi pendiam, kurang berani bercakap dalam kumpulan, atau sukar menyesuaikan diri dalam situasi sebenar kerana terbiasa berkomunikasi menerusi skrin.

Ibu bapa perlu sedar bahawa zaman kanak-kanak adalah tempoh emas untuk perkembangan menyeluruh seorang insan, merangkumi akal, fizikal, emosi dan sosial. Masa ini tidak akan berulang. Jika ia dipenuhi dengan skrin dan permainan digital semata-mata, maka yang hilang bukan sekadar detik membesar, tetapi juga fitrah manusia yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan interaksi secara langsung.

Impak terhadap kesejahteraan keluarga

Kesan negatif ini bukan hanya dirasai oleh anak-anak, bahkan memberi impak terhadap institusi keluarga. Masa berkualiti antara ibu bapa dan anak-anak semakin berkurang. Makan bersama sambil berbual digantikan dengan semua tunduk kepada skrin. Aktiviti riadah keluarga diganti dengan masing-masing leka di alam maya. Hubungan emosi semakin dingin dan komunikasi menjadi minimum. Inilah hakikat yang sedang berlaku dalam banyak keluarga hari ini.

Justeru, penyelesaian kepada isu ini bukanlah dengan menyalahkan teknologi sepenuhnya. Sebaliknya, ia memerlukan kesedaran dan tindakan bijak daripada ibu bapa untuk mengimbangi antara dunia digital dan dunia sebenar.

Mengimbangi teknologi dengan fitrah

Gajet tidak salah, tetapi penggunaannya perlu dikawal, dipandu dan dihadkan mengikut kesesuaian umur serta keperluan perkembangan anak. Antara langkah cadangan:

Had Masa Skrin
Tetapkan bilangan jam harian untuk gajet mengikut umur. Contohnya, kanak-kanak bawah 5 tahun: maksimum 1 jam sehari; umur 5–8 tahun: maksimum 2 jam sehari, dengan kandungan yang berkualiti dan bimbingan ibu bapa.

Perkenalkan waktu bebas gajet seperti
• Jam 6 .00 pm – Isyak (Masa untuk bermain , makan malam, solat berjamaah dan mengaji Quran)
• Jam 11 malam hingga subuh (Masa untuk tidur )
• Pastikan semua handphone anak-anak diletakkan ditempat khas selepas jam 11 malam

-Apabila anda memperkenalkan undang-undang ini, maka ibu bapa perlu memantau supaya ianya dipatuhi.. Undang-undang dibuat untuk dipatuhi, tanda sayang kita pada masa depan mereka

-Pastikan anak-anak anda tidak tidur bersama handphone dalam bilik mereka

Jangan bagi ‘dunia dan seisinya’ pada mereka tanpa sebarang peraturan.

Wujudkan ‘Zon Bebas Gajet’
Seperti ketika makan bersama keluarga, semasa tetamu datang, sebelum tidur atau semasa waktu solat. Dalam zon ini, semua ahli keluarga menyimpan gajet sebagai tanda menghormati masa bersama.

Gantikan dengan aktiviti bernilai
Galakkan aktiviti fizikal seperti bermain di luar rumah, berkebun, berbasikal dan permainan tradisional. Ajak anak menolong kerja rumah ringan atau membaca cerita Islami. Ini bukan sahaja merangsang fizikal dan minda, malah menjadi dakwah kecil yang menyelami jiwa mereka.

Ibu Bapa sebagai teladan
Anak kecil belajar banyak melalui pemerhatian. Jika ibu bapa leka menatap skrin sepanjang masa, bagaimana anak mampu menghargai ‘had waktu’? Tunjukkan disiplin diri: letakkan gajet ke tepi semasa bersama anak-anak.

Kesimpulan

Mendepani era gajet dan digitalisasi bukan bermaksud kita harus menolak teknologi, tetapi menerimanya dengan penuh sedar agar ia tidak menggadaikan fitrah anak-anak yang sedang pesat berkembang dan membesar. Sebagai ibubapa, kita adalah pendidik utama. Tindakan kita akan menentukan masa depan mereka. Dengan bimbingan yang bijaksana daripada ibu bapa, generasi kita akan mampu mengimbangi dunia realiti dan maya bukan sekadar menjadi ‘digital native’, tetapi ‘digital ummah’ yang cemerlang, berakhlaq dan berdaya tahan yang menggunakan teknologi untuk kemaslahatan ummah.

MAZIDAH MUHAMMAD
Penulis dan Penceramah Bebas
Akademi Baitun Nuur
https://www.facebook.com/mazidah.muhammad/ – Harakahdaily 20/6/25

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -