
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyelar langkah kerajaan memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menaikkan tarif elektrik asas yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, tindakan itu menekan rakyat dan mencerminkan kegagalan dasar ekonomi pentadbiran Madani.
“Bahan jenaka dan kebodohan apa yang kerajaan lakukan sekarang? Kenaikan SST bukan sekadar polisi, ia adalah tikaman ke jantung rakyat marhaen Malaysia.
“Pada Mac 2024, kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus, menyasarkan sektor seperti kewangan, teknologi maklumat (IT) dan hiburan, sementara kemewahan golongan elit terus dilindungi.
“Kini, Julai 2025, mereka meluaskan cukai ini kepada barangan bukan keperluan dan perkhidmatan kritikal kesihatan swasta, pendidikan, malah logistik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Mohammad Azamuddin berkata, kerajaan mengatakan bahawa SST itu kononnya dapat mengukuhkan kewangan negara.
“Tetapi siapa yang menanggung beban? Kita. Golongan mahasiswa, B40 dan M40 yang sudah lama dihimpit inflasi, kini terus ditekan tanpa belas kasihan,” katanya.
Justeru, GAMIS membantah polisi dikeluarkan oleh pihak kerajaan kerana ia bukan reformasi yang pernah dijanjikan dulu.
“Sampai sekarang kami masih menunggu reformasi apa yang dibawa oleh Kerajaan Madani, lebih-lebih lagi Perdana Menterinya adalah bapak kepada bapak reformasi pada suatu ketika.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, boleh pula mereka mengeluarkan satu polisi yang menekan rakyat. Mengapa kita perlu bantah? Kerana perluasan SST dikenakan cukai perkhidmatan ke atas sektor-sektor asas seperti kesihatan, pendidikan dan pembinaan.
“Itu adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan! Barangan keperluan asas kononnya dikecualikan, tetapi bagaimana dengan kos perkhidmatan yang menjadi nadi kehidupan?” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sengaja membiarkan rakyat terpaksa membayar lebih untuk sakit, belajar dan membina impian yang akan menjana kesan berantai inflasi tidak terkawal, menghancurkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan mengikis habis sisa-sisa pendapatan rakyat.
Selain itu, kenaikan tarif elektrik asas yang kononnya subsidi masih ada, hakikatnya tarif asas melonjak naik akan menyebabkan kos operasi perniagaan melonjak naik secara mendadak dan tanpa keraguan.
“Kos ini akan dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna dalam bentuk harga barang dan perkhidmatan yang melambung tinggi dari makanan di meja makan, pakaian di badan, hinggalah yuran sekolah anak-anak semuanya akan menjadi mahal. Siapa yang akan menanggungnya? Rakyat!” katanya.
Justeru, beliau menggesa kepada Kerajaan Madani untuk membuat suatu penilaian menyeluruh dengan penglibatan dengan semua pihak berkepentingan bukan membuat keputusan secara unilateral yang menindas rakyat.
“Kami juga menuntut tangguh atau batalkan terus polisi melampau ini. Kerajaan ini telah gagal! Gagal mencari solusi mampan. Gagal mengawal ketirisan, gagal mengutamakan rakyat.
“Sebaliknya, mereka memilih jalan mudah dengan merompak dari poket rakyat yang sudah sedia kempis. Kerajaan tekan kami. Tekanan kami rakyat akan melimpah ke jalanan pada hujung minggu ini! Bangkitlah! Bersatulah!” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Selain itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan.
Sebelum itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan Himpunan Turun Anwar yang akan berlangsung pada 26 Julai ini sebagai manifestasi besar kemarahan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata himpunan tersebut bukan sahaja menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), tetapi turut membawa mesej lebih besar iaitu keperluan mendesak untuk mengembalikan semula hala tuju negara yang telah tersasar di bawah pemerintahan Kerajaan Madani.
Sehubungan itu serunya, himpunan ini wajib disokong oleh semua pihak yang cintakan kebenaran dan mahukan perubahan ke arah kepimpinan yang lebih telus dan bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











