SST: Kerajaan Madani bukan Robin Hood tapi parasit

Tun Faisal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyelar tindakan kerajaan memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menyifatkan Kerajaan Madani sebagai ‘parasit’ yang menindas rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai SST membebankan rakyat adalah tepat pada masanya kerana ia bukan lagi isu kelemahan pentadbiran, sebaliknya telah menjadi penindasan sistematik terhadap rakyat biasa.

“Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menindas rakyat melalui peluasan skop SST yang lebih 90 peratus barangan kini dicukai dan pemotongan subsidi diesel.

“Selain itu, peningkatan surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) dan cadangan kenaikan tarif elektrik, penarikan subsidi RON95 yang bakal diumum, serta kegagalan mengawal kenaikan melampau harga barang mengakibatkan peningkatan harga barangan di pasaran.

“Semua ini berlaku tanpa penjelasan telus ke mana perginya hasil cukai dan penarikan subsidi. Yang rakyat nampak hanyalah perbelanjaan boros demi projek raksasa Kerajaan Madani,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan berkata, kerajaan kononnya mahu menjimatkan RM4 bilion hasil pemotongan subsidi diesel dan menambah RM10 bilion melalui SST.

“Namun pada masa sama, perbelanjaan mewah berikut berlaku seperti sewa helikopter 28 unit AW139 (RM16.6 bilion); projek Transit Aliran Ringan (LRT) Penang (RM17.3 bilion); dan beli Boeing 737 MAX (anggaran RM15 bilion hingga RM17 bilion atau RM30 bilion untuk 60 unit).

“Selain itu, projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) (RM11.2 bilion); tandas sekolah dan awam (RM1.8 bilion); kiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) (RM150 juta); lawatan luar negara Perdana Menteri (RM44 juta setahun); dan 18 pesawat FA-50 Korea (RM 4bilion).

“Kota Madani yang belum diumumkan lagi berapa puluh bilion pula kos pembinaannya. Ini bukan ‘belanja untuk rakyat’, tapi ini belanja untuk kemegahan kerajaan dan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau menyifatkan bahawa SST Madani lebih kejam daripada SST pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), PN dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“SST hari ini, tiada ketelusan, malah rantaian cukai tersembunyi; beban dipindah terus ke harga jualan; barangan asas seperti epal, pisang, garam, ikan dan sayur turut dikenakan cukai.

“Adakah ini benar cukai ke atas golongan kaya seperti yang diketimbangkan? Atau sebenarnya cukai untuk menindas rakyat? Adakah ini ‘Kerajaan Robin Hood’ atau ‘Kerajaan Perompak, Parasit dan Lintah Darat’?” bidasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Madani mencanang diri sebagai ‘Robin Hood’ iaitu cukai golongan kaya kononnya untuk diagihkan semula kepada kalangan rakyat miskin.

“Tetapi apabila buah epal, pisang, nangka, rambutan dan garam pun dicukai, hasilnya pula dibelanjakan untuk helikopter, kapal selam, jet pejuang dan lawatan mewah.

“Adakah ini sebenar ‘Robin Hood’ atau ‘Kerajaan Perompak’ yang merompak rakyat dengan cukai bertubi-tubi?” bidasnya lagi.

Oleh demikian, beliau menyokong saranan Presiden BERSATU agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan GST sebagai jalan keluar yang lebih adil dan telus.

“Kerajaan perlu batalkan peluasan SST dan kenaikan tarif elektrik, mengadakan libat urus menyeluruh tentang GST dan pengurangan cukai dan menyediakan laporan lengkap dan telus ke mana perginya setiap sen hasil cukai dan subsidi rakyat.

“Selain itu, pelaksanaan GST yang terancang, tidak tersembunyi, dan menyediakan input kredit cukai jauh lebih adil dan efisien berbanding SST Madani hari ini.

“Kerajaan Madani gagal urus ekonomi dan kewangan negara. Atas sebab itu, rakyat wajib bertindak, gantikan kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menterinya,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Selain itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -