
KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang menolak tohmahan bahawa PAS tidak mampu mentadbir negeri itu, sebaliknya menegaskan parti itu memiliki barisan kepimpinan berwibawa serta disokong tenaga profesional pelbagai bidang.
Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, pandangan sinis terhadap kemampuan wakil rakyat PAS oleh pihak terbabit hanya menyerlahkan sikap angkuh mereka yang masih terperangkap dalam politik lama dan retorik lapuk.
“Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, pelbagai ramalan, terutama dari pemimpin Umno mengatakan Kerajaan PAS Kelantan tak akan bertahan lama.
“Kerana Almarhum Tok Guru (dikatakan) tak pandai memerintah, hanya pandai berceramah di masjid surau sahaja. Namun sehingga kini Kerajaan PAS Kelantan bertahan sehingga lebih 30 tahun.
“Menteri besarnya kini juga seorang lebai, Umno Kelantan pulak yang nampaknya terkial-kial untuk bertahan. Saya masih ingat dalam satu ceramah, jawapan Almarhum Tok Guru ketika isu ini ditanyakan kepada beliau.
“Almarhum dengan senyuman menjawab, “Jika kita memerintah kerana Allah SWT, Allah SWT akan bantu kita, kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, Dia-lah akan campakkan hidayah pengetahuan kepada kita, syaratnya buat semua itu kerana Allah SWT”.
“Kalau Almarhum Tok Guru dikatakan kelulusan agama tak pandai memerintah, tapi Kedah,Terengganu dan Perlis, semua Menteri Besar PAS ini bukan dari kelulusan agama pun, tapi tetap Umno kata mereka tak pandai memerintah juga.
“Maknanya Umno ni anggap mereka sahaja pandai memerintah. Asal bukan Umno semua tak pandai. Itulah Umno kerjanya nak bodohkan rakyat yang tidak mengundi Umno. Umno ingat rakyat Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu ini bodoh agaknya,” bidas beliau.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur itu turut menyelar taktik politik lawan yang sering memomokkan PAS dengan pelbagai tuduhan tanpa asas, termasuk menggunakan ketakutan sebagai modal kempen.
“Untuk menafikan keupayaan PAS, rakyat Pahang ditakutkan dengan slogan “Nak Mundur Undi PAS”. Sedangkan PAS Pahang belum memerintah lagi, belum terbukti lagi.
“Tapi negeri-negeri PAS perintah telah terbukti mampu memerintah walaupun pelbagai tekanan, serangan dan sekatan dari Kerajaan Pusat,” katanya.
Tambahnya, PAS itu tidak bergantung kepada tokoh tertentu semata-mata, sebaliknya menggerakkan kepimpinan secara berjemaah dan pasukan.
“Insya-Allah pasukan kami memiliki pengetahuan dan kemahiran untuk memerintah dan semua Menteri Besar termasuk Umno bukan ‘sempurna’, tak adapun yang memiliki kelulusan semua bidang. Tak perlu takutkan dan bodohkan rakyat Pahang yang sedang melihat bukti keupayaan PAS memerintah negeri yang sedang PAS kuasai.
“Insya-Allah pasukan kami bukan sahaja di kalangan kami sahaja, ramai ‘silent army’ yang memiliki kelulusan dari pelbagai bidang sedang berusaha dan bersedia untuk bantu kami.
“Termasuklah pengarah-pengarah jabatan dan pegawai kerajaan yang sedang bertugas dan sangat berpengalaman dalam urusan pentadbiran akan membantu kami untuk mentadbir negeri.
“Mereka juga seperti kami dan kami juga sama seperti mereka sedang berusaha untuk merealisasikan impian “Teraju Pahang”, Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











