
KOTA BHARU: PAS Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh agar Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terus memimpin parti sebagai Presiden PAS.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kepimpinan dan panduan Tuan Guru masih diperlukan dalam mendepani cabaran perjuangan PAS.
Katanya, PAS sentiasa menghargai sumbangan besar dan buah fikiran Tuan Guru dalam menyusun hala tuju dan gerak kerja parti.
“Beliau bukan sahaja berpengalaman di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa. Apa yang penting, beliau masih dapat memberikan panduan, tunjuk ajar dan idea dalam memacu perjuangan parti.
“Kepimpinan PAS Pusat ramai, AJK (Ahli Jawatankuasa Kerja) pun ramai, tetapi panduan dari Tuan Guru tetap diperlukan,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dr Mohamed Fadzli yang juga AJK PAS Pusat turut menyambut baik perkembangan kesihatan Abdul Hadi yang dilaporkan semakin baik selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
“Alhamdulillah, rawatan yang dilalui semalam menunjukkan perkembangan positif. Kita mendoakan beliau terus sihat untuk terus memimpin perjuangan Islam ini,” ujarnya.
Mengulas pandangan pihak yang menggesa Tuan Guru melepaskan jawatan, beliau menjelaskan ia tidak datang dari dalam parti.
“Sebahagian besar pandangan tersebut datang daripada penganalisis politik dan pihak luar. Mungkin mereka berniat baik, tetapi mereka tidak memahami cara dan kehendak perjuangan PAS,” katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pandangan daripada parti politik lawan boleh diambil sebagai sempadan dan peringatan, tetapi bukan untuk diikut.
Katanya, selagi Tuan Guru masih mampu memimpin, PAS kekal dengan pendirian untuk terus memberikan kepercayaan penuh terhadap kepimpinannya.
“Setakat ini, di bawah kepimpinan beliau, PAS berada di kedudukan paling tinggi dalam sejarah Parlimen. Tidak timbul isu kesihatan yang menghalang beliau daripada terus memimpin,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











