Patut hapus lantikan politik tak produktif bukan luaskan cukai

Balasubramaniam Nachiappan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan hanya akan menghakis pendapatan boleh guna rakyat serta memburukkan lagi kos sara hidup yang sedang menghimpit ketika ini.

- Advertisement -

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Balasubramaniam Nachiappan berkata, SST ke atas barangan keperluan serta peluasannya kepada perkhidmatan digital dan logistik jelas menunjukkan kerajaan tidak mengambil kira realiti kehidupan rakyat.

“Rakyat dari semua latar belakang sudah cukup terbeban dengan pelbagai tekanan ekonomi seperti harga barangan tidak menurun walaupun pelbagai janji ditabur, pelarasan subsidi diesel yang menjejaskan perniagaan kecil.

“Serta pengusaha logistik dan pengangkutan, dan kadar inflasi yang terus menekan walaupun kerajaan mendakwa ekonomi sedang ‘pulih’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Balasubramaniam, pelaksanaan SST itu bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, bahkan kepada golongan M40 yang kini terjerumus dalam kelas ‘miskin bandar’.

Beliau dalam pada itu turut kecewa dengan sikap kerajaan yang dilihat lebih cenderung mencari hasil cukai daripada membetulkan ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam pentadbiran.

“Sepatutnya kerajaan menumpukan usaha kepada mengurangkan saiz kabinet yang membazir, mengurangkan ketirisan dana awam, serta menghapuskan lantikan politik yang tidak produktif,” tegasnya.

Langkah kerajaan menaikkan dan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat di saat ekonomi belum stabil pula disifatkan sebagai tidak bermoral dan tidak mencerminkan keprihatinan terhadap kesengsaraan rakyat.

“la memberi gambaran bahawa kerajaan gagal mencari jalan penyelesaian yang lebih kreatif dan adil. Oleh itu, DHPP dengan ini menyeru kerajaan membatalkan serta-merta rancangan peluasan SST, mengembalikan semula subsidi yang penting untuk rakyat marhaen.

“Serta mengutamakan reformasi struktur ekonomi berasaskan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang saksama. Kami ingin menegaskan bahawa DHPP berdiri teguh bersama rakyat.

“Tanpa mengira bangsa dan agama dalam menolak dasar yang menindas dan membebankan. Suara rakyat mesti didengar, bukan ditekan dengan dasar cukai yang menyesakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -