
SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, menyifatkan peringatan Perdana Menteri supaya tidak membenarkan pemimpin terpalit rasuah memimpin negara sebagai wajar, namun menimbulkan persoalan dalam kalangan belia.
Menurut beliau, ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2025 baru-baru ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencabar golongan belia agar tidak sesekali membenarkan pemimpin terpalit rasuah diberi peluang memimpin negara.
“Peringatan seumpama ini memanglah baik dan wajar tambahan datang dari pimpinan tertinggi negara. Masalahnya pasti puluhan ribu belia yang hadir pada hari itu tertanya-tanya siapakah pemimpin rasuah yang dimaksudkan PM itu?” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, nama tidak disebut dan parti mana tidak didedahkan, sebaliknya Perdana Menteri hanya menyatakan secara umum supaya menolak pemimpin rasuah.
“Anak-anak muda yang cekap dan terdedah dengan media sosial dan teknologi maklumat sudah tentu tidak mudah diselewengkan kerana maklumat sentiasa berlegar dan berada di hadapan mereka.
“Mereka sudah semestinya melihat serta mengikuti perkembangan proses pemilihan pimpinan PKR baru-baru ini, maklumlah PKR merupakan parti yang dipimpin PM.
“Walaupun ia bukan parti terbesar dalam Kerajaan mahupun di Parlimen, tetapi ia berpengaruh kerana Presidennya juga PM yang mengetuai Kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN),” jelasnya.
Roslan turut memetik kenyataan mantan Naib Presiden PKR, Tian Chua, berhubung pemilihan parti itu di cabang Batu pada 2022 yang didakwanya berlaku pembelian undi.
“Mengulas pemilihan berkenaan, mantan Naib Presiden PKR Tian Chua berkata pembelian undi telah menyebabkan kekalahannya ketika bertanding untuk jawatan Ketua Cabang Batu pada 2022. Ketika itu, aduan telah beliau buat tetapi tiada tindakan dari kepimpinan parti.
“Tian berkata demikian kerana dalam pemilihan PKR di situ baru-baru ini, bekas Naib Ketua PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip turut mendakwa berlaku politik wang dalam pemilihan PKR Batu kali ini,” dedahnya.
Beliau turut memetik kenyataan mantan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, ketika berkempen di Kota Bharu yang mempersoalkan kejujuran parti berkaitan isu rasuah dan perbelanjaan mewah.
“Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatannya semasa berkempen di Kota Bharu berkata, ‘Jangan sesekali cuba tipu rakyat kononnya kita bebas sepenuhnya daripada risiko tersebut, kerana rakyat sudah tidak mudah percaya.
“’Rakyat hari ini sudah celik dan mampu menilai sendiri perilaku calon dan parti ketika berkempen, khususnya apabila berlaku perubahan ketara dalam cara majlis atau program politik dijalankan.
“‘Kalau dulu buat majlis pun dekat dewan biasa, kadang-kadang jumpa dekat kedai kopi, tapi sekarang boleh buat makan besar di dewan penuh…siapa yang bayar semua itu?’” kupasnya memetik ucapan Rafizi.
Tambah Roslan, Ahli Parlimen Subang yang juga bekas Ketua Cabang Subang, Wong Chen, turut mengkritik budaya politik wang yang menular dalam DAP dan PKR.
“Wong Chen yang pula dilaporkan berkata, ‘Kita kini menghadapi budaya politik yang rosak, dan politik wang telah menular, seperti yang anda dapat lihat semasa tempoh pemilihan DAP dan PKR’,” petiknya lagi.
Roslan berkata, mengambil kira seruan Perdana Menteri, anak-anak muda sewajarnya melihat sendiri apa yang berlaku dalam parti PKR yang dipimpin Perdana Menteri.
“Politik wang ini adalah rasuah paling bahaya kerana ia menyerang parti, apatah lagi parti yang memerintah seperti PKR. Barah politik wang jika benar menular dalam darah daging PKR sebagaimana didakwa orang-orangnya sendiri.
“Ia bahaya buat negara dan mereka serta parti inilah yang sepatutnya ditolak anak-anak muda. Malah Wong Chen bukan sekadar dakwa ia menular dalam partinya, ia turut membarah dalam DAP, parti paling dominan dalam Kerajaan.
“Pemimpin veteran DAP, Lim Guan Eng pun masih belum selesai kes rasuahnya di mahkamah, lainlah Presiden Umno yang menerima DNAA istimewa walau menghadapi 47 tuduhan rasuah di mahkamah,” dedahnya.
Jelas beliau, belia serta anak-anak muda Malaysia yang prihatin sewajarnya menyokong seruan Perdana Menteri untuk menolak pemimpin yang terpalit rasuah.
“Jika yang terpalit rasuah mesti ditolak, maka ayuhlah demi masa depan kita semua kita tolak PH-BN yang di dalamnya ada pemimpin yang memang jijik terpalit rasuah. Bersama kita bina negara yang bebas rasuah bebas PH-BN,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











