
KUANTAN: PAS Pahang mengecam tindakan kerajaan yang disifatkan sebagai terdesak dan mengulangi kesilapan lalu apabila berhasrat melaksanakan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menaikkan tarif elektrik bermula Julai ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, tiga langkah besar dirancang kerajaan termasuk rasionalisasi subsidi petrol RON95 bakal memberi kesan rantaian yang membebankan rakyat secara menyeluruh.
“Debaran rakyat menunggu Julai yang membawa langkah-langkah terdesak kerajaan. Apa yg akan berlaku bermula Julai? Pertama, kenaikan tarif elektrik. Kedua, peluasan skop cukai SST. Ada satu lagi sebagai bonus iaitu rasionalisasi subsidi petrol RON95.
“Yang ini tidak semestinya Julai, tapi akan dilaksanakan dalam tempoh Julai hingga Disember ini. Ketiga-tiga langkah tersebut dibimbangi akan memberikan kesan rantai yang akan meningkatkan kos sara hidup,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Andansura yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Beserah berkata, kerajaan kini sedang mengulangi kesilapan yang pernah mereka kecam ketika berada di blok pembangkang dahulu.
“Macam biasa, kerajaan kata ‘kenaikan tidak akan membebankan rakyat’. Kita sudah masak dengan kata-kata seperti ini. Kerajaan sekarang ketika menjadi pembangkang dahulu pun memandang sinis bila kerajaan ketika itu menggunakan ayat ini.
“Kenapa? Kerana ia hanya utk menyedapkan rasa, realiti berbeza. Betul, barangan asas tidak dikenakan cukai SST tetapi melihat kepada banyaknya senarai barangan, perkhidmatan yang akan dicukai dan kebimbangan rakyat berasas,” katanya.
Beliau berkata, peluasan SST bakal menyaksikan lebih 4,000 jenis barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai berbanding kurang 1,000 sebelum ini turut memberi kesan rantaian yang menekan semua lapisan masyarakat.
“Daripada tidak sampai 1,000 jenis barangan dan perkhidmatan yang dicukai sebelum ini, ia akan melonjak kepada lebih 4,000 jenis. Kenaikan lebih 300 peratus.
“Begitu juga bilangan barangan dan perkhidmatan yang tidak dicukai. Kalau dulu lebih 5,000 jenis tidak dicukai, sekarang berkurang kepada tidak sampai 2,000. Turun 65 peratus!” katanya.
Selain itu katanya, kenaikan tarif elektrik sekitar 14 peratus dijangka bermula Julai bergantung kepada jumlah penggunaan, namun ia tetap membebankan terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Ya, kenaikan bil bulanan bergantung kepada jumlah penggunaan. Namun itu tidak menafikan kenaikan tarif. Kerana itu, kita semua wajar merasa bimbang dgn langkah-langkah yang diambil kerajaan.
“Kita bimbang akan berlaku kenaikan kos sara hidup akibat kesan rantaian yang tidak dapat dielakkan. Kita nak bertanya, apakah kerajaan sudah hilang ikhtiar untuk menanggung beban menjaga rakyat, maka beban itu terpaksa dilepaskan kepada rakyat untuk menjaga diri sendiri?” katanya.
Beliau berkata, anggota kerajaan hari ini adalah anggota pembangkang dahulu yang berbuih mulut mengkritik kerajaan pimpinan, Dato’ Sri Mohamed Najib Tun Abdul Razak dalam hal-hal yang serupa.
“Kini apa yg mereka lakukan tiada yang lebih baik, kalau pun tidak lebih buruk. Anehnya, Umno yang menjadi sebahagian daripada kerajaan seolah-olah merestui tindakan kerajaan pimpinan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka seperti hilang ingatan hingga boleh melupakan segala kata-kata tajam Anwar dan Pakatan Harapan (PH) kepada mereka dahulu. Apa baiknya pentadbiran Anwar berbanding Najib dahulu dalam konteks menjaga kepentingan rakyat?” katanya.
Beliau turut menyentuh isu rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang menurut Perdana Menteri akan dilaksanakan secara bersasar antara Julai hingga Disember tahun ini.
“Kenyataan berbolak-balik Anwar selaku Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri berkaitan subsidi RON95 juga mengecewakan seperti tiada pertimbangan yang jelas. Namun petunjuknya, subsidi petrol tetap ditarik pada separuh kedua 2025.
“Apa mekanisme yang akan digunakan? Apakah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan? Atau sudah dibakulsampahkan? Umno perlu lebih tegas. Jangan biarkan rakyat resah membilang hari menunggu Julai.
“Jangan ambil saham atas kegagalan Menteri Kewangan mengemudi ekonomi negara dengan lebih baik. Jangan kerana kepentingan politik sesetengah kelompok, kepentingan rakyat terpaksa dikorbankan,” katanya.
Justeru, PAS Pahang menyeru kerajaan supaya mempertimbang semula dasar fiskal yang terlalu menekan rakyat dan tidak hanya memikirkan kepentingan angka dan defisit.
“Kita memahami keutamaan kerajaan dalam dasar fiskal untuk menstabilkan ekonomi negara, tetapi rakyat terbanyak tidak boleh dipinggirkan.
“Langkah-langkah yang diambil bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kumpulan B40, malah juga kepada M40, termasuk juga golongan belia.
“Kerajaan masih ada masa utk ‘u-turn’. Ia bukanlah susah. Bukankah sudah banyak janji-janji manis yang kerajaan sudah ‘u-turn’ sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Selain itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











