SST: Madani abai kajian akademik mengenai cukai

Apa guna kata-kata indah kalau rakyat terus lapar?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pengarah Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff menempelak Kerajaan Madani yang gagal menangani isu percukaian negara dengan jujur dan berasaskan data.

- Advertisement -

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menolak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seolah-olah dipandu oleh sentimen politik semata-mata, bukannya berpaksikan manfaat kepada ekonomi atau rakyat.

“Polemik GST dan SST ini bukan baru. Namun seharusnya Kerajaan Madani peka terhadap pandangan-pandangan rakyat tentang kesan perubahan GST kepada SST pasca pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerana GST yang diperkenalkan dahulunya telah mula menampakkan hasil dan diterima masyarakat.

“Kita khuatir pertukaran GST kepada SST hanya dibuat berdasarkan politik semata-mata kerana tidak mahu kelihatan menurut apa yang bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohamed Najib Tun Abdul Razak lakukan.

“Ataupun takut termalu sendiri dengan lagu ABCDGST yang dilaungkan dahulu sebelum pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, video lagu sindiran anti-GST tular dinyanyikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching pada 2018 dan 2015. 

Yusfarizal berkata, pelbagai kajian akademik telah menunjukkan kelebihan GST dari sudut pengurangan kos pengeluaran serta kesan regresif SST ke atas golongan berpendapatan rendah.

Beliau merujuk kajian oleh Siti Nur’Amalina Syeddin et al (2021) yang disiarkan dalam Journal of Business and Social Development di mana mendapati GST mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan kos pengeluaran, berbanding SST yang meningkatkan beban kepada pengeluar.

Selain itu, kajian terbaru oleh Nur Erma Suryani Mohd Jamel et al (2025) yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, mendedahkan impak negatif pelaksanaan SST 2.0.

Jelasnya, kajian itu menerangkan kesan kepada tabiat perbelanjaan isi rumah terutamanya kumpulan B40 dan M40 di mana golongan ini semakin terbeban dengan perbelanjaan keperluan asas seperti perumahan dan utiliti, manakala perbelanjaan makanan menurun.

“Terdapat banyak kajian yang dilakukan secara akademik untuk menilai struktur cukai SST kepada ekonomi. Seharusnya kajian-kajian ini dibaca, dihadam dan dijadikan pedoman juga.

“Rangkumannya, kajian-kajian sebegini perlu ditelusuri oleh Kerajaan Madani untuk mencorak strategi percukaian yang bukan sahaja efektif untuk menaikkan hasil kerajaan, tetapi yang lebih penting tidak menekan dan membebankan rakyat.

“Yang lebih utama, jangan mendabik dada dan asyik menyalahkan orang lain. Pentadbiran dahulu, pembangkang dan sesiapa sahaja kerana hari ini, air liur anda sudah tidak laku di mata sesiapa. Apa guna kata-kata indah kalau rakyat terus ‘lapar’,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Selain itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -