
OLEH Sheikh Dr. Wasfi ‘Ashur Abu Zaid (وصفي أبو زيد), anggota Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS)
في مثل هذا الوقت الذي يجب أن تستحضر فيه الأمة أعظم دروس الحج وهو وحدة الأمة، لا ينبغي لأهل الرأي والحكمة أن يوقعوا أنفسهم وجمهورهم في براثن الاختلاف المستتبع التراشق والتدابر، واتهام النيات، وأحيانا الاتهام بالتجهيل والتخوين.
Dalam waktu umat Islam sepatutnya menghayati pengajaran terbesar daripada ibadah haji iaitu semangat kesatuan dan perpaduan umat, amatlah tidak wajar bagi golongan cendekiawan dan tokoh berwibawa untuk mengheret diri serta para pengikut mereka ke dalam kancah perbezaan yang membawa kepada pertelingkahan, tuduh-menuduh, permusuhan, bahkan saling merendah dan mempertikai niat antara satu sama lain.
لا تتحدثوا بشيء ولا تكتبوا شيئا يؤدي إلى هذا حتى لو كان حقاً، فهذا مما يبغضه الله تعالى،
Jangan kita bercakap atau menulis sesuatu yang membawa kepada perpecahan, meskipun perkara itu benar. Jika ia dapat menimbulkan kebencian, mencetuskan polemik dan meretakkan kesatuan, maka itu termasuk perkara yang dibenci oleh Allah SWT.
وإنما تحدثوا عما يجمع ولا يفرق، وعما يحشد الجهود ويصفها صفا واحدا كالبنيان المرصوص، فهذا مما يحبه الله تعالى.
Sebaliknya, berbicaralah mengenai perkara yang menyatukan, yang mengukuhkan perpaduan dan menyusun saf umat seperti bangunan yang tersusun rapi. Inilah yang disukai dan diredai oleh Allah SWT.
تحدثوا عن الآثار الإيجابية لهذه الحرب بين الطرفين على المقاwمة في غزة، وكيفية استثمارها لهذا الظرف في إعادة ترتيب صفوفها، ومدى إمكانية انقضاضها على هذا الكيان اللقيط لتكون الضربة ضربتين مُجهزتين.
Lebih baik kita memberi tumpuan kepada perbincangan yang membina seperti membincangkan kesan positif daripada konflik ketenteraan antara Iran dan rejim Zionis terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.
Bagaimana situasi ini boleh dimanfaatkan oleh para pejuang untuk menyusun semula barisan, memperkukuh kekuatan, serta merancang langkah strategik yang lebih tersusun dan berkesan.
Fikirkan juga mengenai potensi untuk melancarkan serangan balas yang berganda iaitu strategi ‘double-strike’ yang mampu memberikan impak besar kepada entiti penjajah itu.
تحدثوا عن مشروع أهل السنة؛ فلو كان لهم مشروع عملي واضح المعالم، وراية سياسية مرفوعة، ودولة تتحدث باسمه في العالم،
Bicarakan juga mengenai keperluan umat Islam Ahli Sunnah untuk memiliki satu agenda yang jelas dan praktikal, iaitu dengan hala tuju politik yang tersusun, panji perjuangan yang diiktiraf, serta menjadi sebuah negara yang mampu mewakili suara mereka secara rasmi di peringkat global.
لما سيم المسلمون في العالم العربي الخسف وسوء العذاب من دول ذات مشاريع أخرى.
Andai ini direalisasikan, umat Islam tidak akan terus-menerus menjadi mangsa penindasan dan penghinaan dari kuasa-kuasa asing yang punya agenda tersendiri.
تحدثوا عما يوحد الأفكار، ويقارب الرؤى، ويوظف الجهود، ويعزز الوعي، فهذا مما نحتاج إليه الآن؛ ليكون لنا مكان في هذا العالم، وتكون لنا راية مرفوعة، ومنهجية متبوعة، وقيمة مشروعة، في هذا العالم الذي لا يؤمن إلا بالقوة، والقوة فقط، ولا يحترم إلا الأقوياء الموحَّدين الواعين.
Sudah tiba masanya kita berbincang mengenai usaha menyatukan fikiran, menyelaraskan pandangan, menggabungkan tenaga dan meningkatkan kesedaran umat. Inilah perkara yang sangat kita perlukan pada waktu ini.
Kita perlu bersatu dan bergerak seiring agar umat Islam mendapat tempat yang dihormati di peringkat dunia, memiliki panji yang dapat dikibarkan dengan bangga, pendekatan yang boleh diikuti, serta nilai yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Dunia hari ini tidak percaya kepada apa-apa melainkan kekuatan dan hanya menghormati mereka yang kuat, bersatu dan sedar akan matlamat perjuangan mereka.
Marilah kita renungi firman Allah SWT:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Jangan kamu berbalah sesama sendiri, kelak kamu akan menjadi lemah dan hilang kekuatan. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal ayat 46)
Ayuh kita bersatu atas dasar iman, dan bersabar dalam menempuh segala ujian serta mehnah yang Allah tetapkan.
Doakan agar Allah SWT terus mengurniakan kekuatan dan kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia, khususnya saudara-saudara kita di Palestin dan Iran.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 18/6/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1EzfFhKmhL/?mibextid=oFDknk
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











