RM1 juta bantu pesawah, perkasa pertanian hijau

Kelantan International Organic Research Centre (KORC)
- Advertisement -

MACHANG: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM1 juta bagi membantu pesawah dan petani menerusi pengagihan baja padi, baja organik dan baja organik cecair.

- Advertisement -

Usaha itu sebagai sokongan kepada pembangunan ekosistem pertanian hijau dan lestari di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, permohonan boleh dibuat melalui penghulu, pusat khidmat ADUN dan agensi berkaitan seperti Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Jabatan Pertanian Kelantan serta Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB).

Katanya, bagi fasa pertama, seramai 252 penerima menerima masing-masing 942 botol baja foliar padi, 148 beg baja organik dan 23 botol baja organik cecair.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bantuan Baja Organik dan Baja Padi Peringkat Negeri Kelantan di Markas Dewan Ulama Machang (MADU), di sini.

Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Pada majlis itu juga, seramai 63 peserta Seminar Cakna Organik turut didedahkan dengan amalan pertanian lestari serta proses pensijilan MyGAP dan MyOrganik.

Turut disentuh peranan Pusat Penyelidikan Organik Kelantan atau Kelantan International Organic Research Centre (KORC) yang ditubuhkan oleh KBCSB, syarikat di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“KORC juga diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan dan inovasi bioteknologi pertanian organik, di samping menghasilkan pelbagai produk berguna untuk petani.

“Semoga KORC dapat menjadi peneraju pertanian hijau dan mampan, selaras dengan visi Bertani Satu Ibadah yang dibawa Kerajaan Negeri,” ujarnya lagi.

Turut hadir Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan kepimpinan setempat. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -