
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan tiada aktiviti perlombongan haram berskala besar dikesan berlaku di hutan-hutan sekitar negeri ini.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, aktiviti perlombongan haram yang dikenal pasti hanyalah berskala kecil yang dijalankan secara mendulang oleh segelintir rakyat di kawasan tersebut.
“Setakat tahun 2020 hingga 2025, hanya terdapat empat kes melibatkan aktiviti mendulang berskala kecil oleh orang awam. Kita telah memanggil mereka dan memberi penerangan bahawa tindakan tersebut salah dan mesti mematuhi undang-undang serta prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim, di sini.
Menurut beliau, pertemuan dengan pendulang terbabit turut menekankan aspek pematuhan dan langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Apabila berlaku penggalian di kawasan tepi sungai dan sebagainya, ia boleh mengakibatkan tanah runtuh serta mencetuskan pencemaran alam sekitar. Kita tidak mahu kejadian buruk berlaku kepada pendulang-pendulang ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama Dr Fadzli berkata, sebarang maklumat berkaitan perlombongan haram berskala besar hendaklah dikemukakan bersama bukti sahih bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh kerajaan negeri.
“Setakat ini, tiada aktiviti perlombongan haram berskala besar yang berlaku di Kelantan. Sekiranya ada, bawakan bukti seperti yang didakwa, dan tindakan akan diambil.
“Yang berlaku kini hanya ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat kelulusan melombong dan perkara ini memang ada,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan sebarang tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan isu perlombongan perlu melibatkan kerajaan negeri selaku pihak berkuasa yang sah dalam hal ehwal tanah dan perhutanan. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











