Kewajipan umat Islam sokong Iran hadapi pencerobohan

- Advertisement -

SEJAK tertubuhnya Republik Islam Iran, bahkan sejak wujudnya negara penjajah dan penceroboh Israel, kita tidak pernah melihat mana-mana negara yang begitu setia, yang begitu banyak berkorban dan menanggung penderitaan demi membela isu Palestin, sepertimana yang telah dan sedang kita saksikan dari negara Iran hari ini.

Tidak ada negara-negara Arab sama ada secara individu mahupun secara kolektif dan tidak juga negara-negara Islam secara bersendirian ataupun secara bersama yang telah memberikan sumbangan sebagaimana yang telah Iran berikan kepada isu Palestin, kepada rakyat Palestin, dan kepada Masjid al-Aqsa.

Sebelum tertubuhnya sistem Republik Islam, Iran di bawah pemerintahan Shah merupakan sekutu paling kuat dan sahabat paling akrab kepada Israel di dunia Islam.

- Advertisement -

Namun sebaik sahaja revolusi berjaya dan sistem Shah tumbang, Imam Khomeini segera memanggil pemimpin Palestin, Yasser Arafat, dan menyerahkan kepadanya kunci kedutaan Israel, untuk diubah menjadi kedutaan Palestin, menjadikan ia daripada salah satu kedutaan paling memusuhi Palestin, kepada kedutaan Palestin yang paling berpengaruh dan bermaruah di dunia!

Itulah isyarat pertama yang ditangkap oleh ahli politik Barat, dan daripada situ mereka tahu bahawa sistem baru di Tehran adalah penentang dan penolak kepada Israel secara total.

Dan bagi negara-negara Barat, sesiapa yang tidak boleh hidup berdampingan dengan Israel, maka mereka tidak akan menerima atau membiarkannya hidup bebas. Sesiapa yang tidak menerima projek besar mereka – iaitu ‘Negara Israel’, maka mereka tidak akan menerimanya dan akan sentiasa berusaha menyingkirkannya.

Iran pasca revolusi meneruskan sokongannya terhadap isu Palestin dan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin, malah ia melangkaui batas diplomatik dan bantuan kemanusiaan – Iran memasuki fasa pembekalan senjata dan latihan ketenteraan kepada pejuang Palestin. Suatu perkara yang tidak pernah berani dilakukan oleh mana-mana negara Arab atau Islam yang lain – termasuklah negara-negara pemimpin revolusi kebangsaan seperti Gamal Abdel Nasser, Saddam Hussein, Houari Boumédiène dan Muammar Gaddafi!

Iran terus melangkah dengan dasar yang mencabar kewujudan entiti Zionis dan Barat dengan segala dasar dan ‘garisan merah’ mereka yang dikenakan ke atas negara-negara Islam. Maka Barat pun memutuskan untuk mencekik dan menjatuhkan sistem Iran dengan segala cara yang ada. Dan usaha mereka ke arah itu masih berlangsung sehingga hari ini.

Puncak kepada cabaran dan tindak balas itu berlaku apabila Iran mencapai kemajuan ketara dan berterusan dalam industri nuklear, yang ditafsir oleh Barat dan Israel sebagai usaha untuk memiliki senjata nuklear.

Senjata nuklear yang berada di luar kawalan Barat sudah pun dimiliki oleh beberapa negara – termasuk yang dibangunkan dalam era sekatan dan kawalan ketat, seperti nuklear Pakistan dan nuklear Korea Utara. Namun, kerana ia tidak ditujukan kepada Israel, maka hal itu dianggap boleh dimaafkan.

Tetapi nuklear Iran, jika benar-benar wujud, dianggap mereka sebagai ancaman utama dan terakhir terhadap Israel dan kewujudannya. Oleh itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang Iran daripada memilikinya, termasuklah serangan nuklear pemusnah!

Apa yang ingin ditegaskan ialah, segala peperangan, sama ada ketenteraan, politik, ekonomi atau perisikan, yang dilancarkan ke atas Iran oleh Israel dan Amerika, dengan sokongan negara-negara penjajah, dan didukung pula oleh beberapa rejim Arab, semuanya adalah berpunca daripada pendirian tegas Iran terhadap Palestin dan perjuangan rakyatnya.

Maka menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyokong Iran dalam menghadapi pencerobohan ini. Dan ‘Bukankah balasan bagi kebaikan itu adalah kebaikan juga?’

DR. AHMED AL RAISSOUNI
Bekas Presiden Kesatuan Ulamak Antarabangsa (IUMS) –HARAKAHDAILY 18/6/2025

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1B3SA8KexT/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -