Esok dunia bakal tertekan?

Iran wajibkan kebenaran untuk kapal minyak lalui Selat Hormuz

- Advertisement -

BERMULA esok, semua kapal tangki minyak dan gas asli cecair (LNG) yang ingin melalui Selat Hormuz diwajibkan memohon kebenaran daripada pihak berkuasa Iran, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang bekas Menteri Ekonomi Iran kepada agensi berita Fars.

Langkah drastik ini akan dikuatkuasakan selama 100 hari, sebagai sebahagian daripada tekanan strategik Iran terhadap Amerika Syarikat, khususnya terhadap Presiden Donald Trump, melalui pendekatan ekonomi.

“Kami tidak akan biarkan musuh kami meraih keuntungan daripada laluan strategik ini tanpa sebarang kawalan,” ujar bekas menteri tersebut dalam satu kenyataan khas.

- Advertisement -

Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perairan paling penting di dunia, terletak di antara Teluk Parsi dan Laut Arab. Hampir satu perlima daripada jumlah minyak mentah dunia sekitar 20 juta tong sehari melalui selat ini, termasuk bekalan ke negara-negara seperti Malaysia, China, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Langkah Iran ini berpotensi mencetuskan gelombang ketegangan baru, bukan sahaja di Asia Barat, malah ke seluruh pasaran global. Gangguan terhadap aliran minyak melalui Hormuz boleh menyebabkan lonjakan harga minyak mentah, ketidaktentuan pasaran tenaga, dan kesan rantaian terhadap ekonomi dunia.

Pemerhati politik dan keselamatan antarabangsa melihat dasar baru ini sebagai isyarat amaran kepada Amerika Syarikat dan sekutunya. Dengan konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah, tindakan Iran ini dilihat bukan sekadar strategi ekonomi, tetapi juga mekanisme pertahanan nasional yang bertujuan untuk mengawal tekanan luar dan mempertahankan kedaulatan perairannya.

Sekiranya AS atau mana-mana kuasa Barat cuba mengabaikan arahan ini, ketegangan boleh berubah menjadi konflik bersenjata di salah satu titik panas dunia yang paling sensitif dari segi geostrategik.

Dunia kini memerhati dengan penuh debar terhadap perkembangan di Selat Hormuz. Iran telah meletakkan tekanan maksimum ke atas musuhnya melalui saluran ekonomi yang paling kritikal. Sekiranya situasi ini tidak dikendalikan dengan diplomasi dan bijaksana, dunia mungkin berdepan krisis tenaga global dan ketidaktentuan yang lebih serius dalam beberapa minggu mendatang.

LOVERS OF THE WORLD MILITARY AND DEFENSE – HARAKAHDAILY 18/6/2025

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1EPx8ufvaF/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -