
DAKWAAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa Washington kini menguasai ruang udara Iran dan mengetahui lokasi pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei; telah disusuli dengan kenyataan balas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang memaklumkan bahawa Iran kini mengawal ruang udara Israel.
Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump menyatakan bahawa beliau tidak merancang untuk membunuh Khamenei ‘buat masa ini’, namun menegaskan Teheran perlu melakukan ‘penyerahan tanpa syarat’ di tengah-tengah konflik memuncak antara Iran dan Israel.
“Kami tahu di mana ‘Pemimpin Tertinggi’ itu bersembunyi. Dia sasaran mudah, tetapi buat masa ini kami tidak akan mengambil tindakan terhadapnya,” kata Trump yang dilihat semakin banyak mengeluarkan desakan ancaman.
Beliau yang juga dilihat kian beremosi dalam minggu ini, turut menyatakan bahawa kesabaran AS ‘semakin menipis’ dan tidak akan membiarkan sebarang serangan terhadap orang awam atau tentera AS.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa AS mempunyai ‘kawalan penuh ke atas ruang udara Iran’ dan memberi amaran terhadap sebarang serangan lanjutan oleh Iran.
Kenyataan Trump dibuat ketika konflik udara antara Israel dan Iran memasuki hari kelima, dengan kedua-dua pihak melancarkan serangan peluru berpandu dan dron.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut gesaan agar kedua-dua pihak menunjukkan kawalan diri, mencerminkan pendirian lebih keras terhadap Teheran.
Dalam perkembangan berkaitan, IRGC berkata angkatan tentera Iran kini menguasai ruang udara Israel selepas melancarkan gelombang serangan peluru berpandu baharu.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita Mehr, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan rejim Tel Aviv ke atas Iran.
IRGC berkata peluru berpandu Fattah generasi pertama dilancarkan terhadap wilayah yang diduduki dan berjaya menembusi sistem pertahanan peluru berpandu Israel serta menyerang tempat perlindungan beberapa kali.
“Serangan peluru berpandu malam ini menunjukkan bahawa kami telah mendapat kawalan sepenuhnya ke atas langit wilayah yang diduduki,” kata kenyataan IRGC.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara dan serangan dron di beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear. Serangan itu mencetuskan serangan balas balistik daripada Teheran.
Sementara itu, Trump dalam satu kenyataan berasingan menggesa penduduk mengosongkan Tehran dan menyokong amaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran.
“Semua orang harus segera mengosongkan Tehran!” tulis Trump semasa Sidang Kemuncak G7 di Kanada, tanpa memberikan butiran lanjut.
Walaupun menyatakan sokongan terhadap tindakan Israel, Trump menegaskan bahawa beliau masih mengutamakan pendekatan diplomatik.
“Iran akan jadi bodoh jika enggan berunding. Perang ini menyakitkan kedua-dua belah pihak, tetapi Iran bukan pihak yang menang. Mereka perlu berbincang segera, sebelum segalanya terlambat,” katanya semasa bertemu Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi pula menggesa penduduk di Haifa dan Tel Aviv supaya segera berpindah sebagai persediaan menghadapi ‘serangan balas’ yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Dalam satu video disiarkan media rasmi Iran, Mousavi menyatakan operasi sebelum ini hanya bersifat amaran, namun tindakan yang lebih keras akan menyusul.
“Segala operasi yang dijalankan setakat ini adalah sebagai amaran. Operasi serangan balas akan dilakukan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pembunuhan beberapa pegawai kanan tentera, rakyat Iran dan saintis nuklear dalam serangan Israel menjadi pendorong kepada ketegasan tentera Iran.
“Kematian syahid para komander, rakyat dan saintis kami akan menjadikan pasukan bersenjata lebih berazam untuk melaksanakan arahan balasan ini,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Presiden Perancis Emmanuel Macron merayu Israel agar mengelak daripada menyasarkan orang awam di Iran ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk meredakan ketegangan.
Negara-negara G7 secara keseluruhannya menyokong tindakan Israel walaupun bimbang terhadap peningkatan konflik dengan Iran. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











