
BESUT: Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan Darulnaim (PURNAMA) dan Dewan Muslimat PAS Kelantan telah menziarahi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta keluarga mangsa yang meninggal dunia.
Bersimpati dengan nasib yang menimpa anak-anak tersebut, PURNAMA yang diketuai Pengerusinya, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaakob menziarahi 15 keluarga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi di Gerik, Perak 9 Jun lalu itu.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim serta timbalannya, Nur Asilah Mohamed Zin.
Turut serta, Timbalan Pengerusi PURNAMA, Bahrulnurarifah Baharuddin dan Pengarah U-KekWA, Ilvira Mohd Dasuki, di mana setiap mangsa atau keluarga mangsa diziarahi menerima sumbangan wang tunai daripada PURNAMA dan Muslimat PAS Kelantan.
Bagi melancarkan sesi ziarah, PURNAMA membahagikan lawatan kepada tiga kumpulan yang diketuai oleh Datin Wan Nor Hanita, Bahrulnurarifah dan Rohani Ibrahim yang meliputi kawasan Jabi, Hulu Besut dan sekitar Jerteh.

Wan Nor Hanita merakamkan ucapan takziah dan melahirkan simpati dan turut mendoakan mereka serta empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza yang turut terlibat dalam kemalangan itu agar diberi kesembuhan.
“Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada keluarga mangsa dan memberikan mereka kesabaran serta ketenangan. Didoakan juga agar semua yang terkorban diampuni, diberi rahmat dan ditempatkan di tempat yang mulia di sisi Nya,” katanya.
Beliau juga melahirkan rasa sedih atas tragedi menyayat hati itu dan terus mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan yang beriman.
Bagi mangsa yang masih dirawat dan sedang berjuang untuk pulih, beliau mendoakan agar mereka diberi kesembuhan, kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian.
“Semoga semangat anak-anak untuk terus belajar tidak hilang dan bangkitlah untuk terus maju,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











