Sukan latih disiplin, jauhi remaja dari gejala negatif

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sukan bukan sekadar satu aktiviti riadah, malah mampu melatih disiplin, kekuatan fizikal dan menjauhkan golongan remaja dari gejala negatif.

- Advertisement -

Penegasan itu disuarakan ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman yang menyeru golongan belia agar mencari peluang sebaik mungkin dan tidak hanya menjadi penonton, malah lebih aktif melibatkan diri khususnya dalam aktiviti sukan.

Beliau turut menggalakkan bakat-bakat muda untuk melangkah lebih jauh sehingga dapat mewakili DUN, daerah malah peringkat negeri sesuai dengan kemampuan masing-masing.

“Sepak takraw, misalnya, melibatkan pergerakan seluruh badan sekaligus meningkatkan stamina dan kecergasan,” katanya.

Shaari berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada enam pasukan yang menyertai Kejohanan Takraw Tertutup Bawah Lembah Bunut Payong di sini yang bermula sejak awal pagi sehingga petang. (Foto atas)

“Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada urusetia dan barisan jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan kejohanan termasuk tuan kedai yang menyediakan tempat untuk penganjuran.

“Semoga penganjuran sebegini dapat diteruskan dan diberi ruang lebih besar lagi demi pembangunan sukan dan belia di DUN Bunut Payong,” katanya.

Pasukan Pijie dinobat sebagai johan kejohanan selepas mempamerkan aksi libas padu dan mutu permainan yang luar biasa sehingga melayakkan mereka bergelar juara. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -