
PENDAHULUAN
Wabak HIV/AIDS bukan sekadar statistik atau beban kesihatan awam. Ia adalah kisah kehilangan, kekecewaan, dan kadangkala, keputusasaan. Di sebalik angka-angka yang meningkat saban tahun, terdapat insan yang sedang bergelut dengan stigma, kesakitan dan pencarian makna hidup.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2021), 63 peratus kes HIV baharu di Malaysia adalah berpunca daripada hubungan sejenis, terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki (MSM). Dari 1986 hingga 2021, 128,638 kes telah direkodkan.
Perubahan ini bukan sekadar epidemiologi ia juga cerminan krisis identiti, kehampaan spiritual, dan keruntuhan nilai kekeluargaan dalam masyarakat kita.
Dalam arus normalisasi LGBTQ atas nama kebebasan individu, kita tidak boleh berdiam diri.
Nilai Islam tidak pernah memusuhi manusia, tetapi berdiri sebagai cahaya membimbing mereka yang tersasar, dan menyelamatkan mereka yang tenggelam dalam kekeliruan. Di sinilah pendekatan psychospiritual Islam berperanan: menyentuh akal, memeluk emosi, dan menyembuhkan jiwa.
Pencegahan berakar daripada nilai dan jiwa
Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi satu sistem kehidupan yang membina kekuatan jiwa. Hubungan seksual hanya dibenarkan dalam pernikahan antara lelaki dan perempuan, bukan untuk menyekat fitrah, tetapi untuk menguruskannya secara beradab dan bermaruah.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’: 32)
Larangan ini bukan semata-mata hukum, tetapi refleksi kasih sayang Tuhan yang ingin melindungi manusia daripada penyakit lahiriah dan luka batiniah. Dalam teori psychospiritual, setiap nafsu yang tidak dikawal akan membawa kepada kegelisahan jiwa dan ketidakseimbangan psikologi. Islam, melalui Maqasid Syariah, menjaga nyawa, akal dan keturunan — tiga komponen yang terjejas secara langsung oleh penyebaran HIV/AIDS akibat gaya hidup songsang.
Keluarga: Terapi awal jiwa manusia
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Namun, tanpa bimbingan, fitrah itu boleh dilencongkan oleh pengalaman hidup, trauma, atau kekeliruan identiti. Di sinilah keluarga menjadi ‘klinik spiritual’ pertama yang menyuntik nilai, cinta dan hala tuju kepada jiwa anak-anak.
Pendidikan seks dalam Islam tidak hanya membincangkan alat kelamin, tetapi membentuk rasa malu, hormat diri, dan penghayatan tanggungjawab terhadap tubuh dan jiwa.
Firman Allah:
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar…” (Surah Al-Ankabut: 45)
Solat sebagai latihan spiritual harian menghubungkan manusia kepada Tuhan, memberi stabiliti emosi, dan mengukuhkan kawalan diri. Dalam konteks psychospiritual, ibadah bukan sekadar kewajiban, tetapi terapi transenden yang membentuk self-regulation terhadap dorongan nafsu.
Berhikmah dalam menyantuni jiwa yang luka
Golongan yang terjebak dalam gaya hidup LGBTQ atau dijangkiti HIV tidak perlu dicerca, tetapi disentuh dengan kasih yang membina. Banyak antara mereka sebenarnya sedang mencari cinta tetapi tersilap arah. Mereka bukan hanya sakit secara fizikal, tetapi juga terluka secara rohani.
Firman Allah:
“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.” (Surah Az-Zumar: 53)
Psychospiritual Islam meyakini bahawa setiap jiwa boleh dipulihkan. Rawatan moden mesti digandingkan dengan terapi spiritual seperti zikir, bimbingan tazkiyah al-nafs, sokongan komuniti, dan sesi kaunseling Islamik yang membangunkan semula harga diri mereka. Dalam banyak kes, mereka yang kembali kepada agama menunjukkan peningkatan mendadak dalam motivasi hidup dan pengurangan tingkah laku berisiko.
Belajar dari dua dunia
Negara Islam seperti Iran dan Pakistan berjaya mengurangkan penyebaran HIV melalui pendekatan komuniti masjid, undang-undang moral dan program pemulihan rohani. Sebaliknya, negara Barat yang menekankan pendekatan fizikal semata-mata seperti pengedaran kondom masih berdepan peningkatan kes HIV dalam kalangan MSM.
Kajian oleh UNAIDS (2022) menunjukkan bahawa akses kesihatan semata-mata tidak mencukupi tanpa perubahan gaya hidup dan nilai. Malaysia harus bijak — menggabungkan kekuatan sistem kesihatan awam dengan nilai spiritual Islam untuk pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Peranan media dan polisi awam: Menyentuh hati, bukan menghukum
Media adalah ‘mimbar moden’ yang mencorak emosi dan fikiran rakyat. Ia perlu memaparkan naratif penyembuhan, kisah benar mereka yang kembali kepada fitrah, dan nilai kekeluargaan yang kuat. Promosi keterbukaan tanpa batas hanya akan mencipta kekeliruan identiti dan kehancuran jiwa, khususnya dalam kalangan remaja yang sedang mencari pegangan.
Dasar kerajaan pula mesti berpaksikan maqasid dan realiti masyarakat Malaysia yang menjunjung Islam. Polisi kesihatan tidak wajar tunduk kepada tekanan minoriti ekstrem, sebaliknya mesti berpandukan prinsip perlindungan insan secara kolektif.
Penutup: Islam, rahmat kepada sekalian alam
Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2030 (GTZ 2030) telah dibangunkan untuk menyokong Pelan Nasional Mengakhiri Aids 2016-2030 yang dirangka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuka ruang untuk penglibatan pelbagai pihak termasuk NGO Islamik, kaunselor bertauliah dan institusi masjid bagi mempercepat pencapaian matlamat sifar Aids. Namun ia perlu diperkasakan dengan pendekatan psychospiritual yang menyembuhkan bukan sahaja tubuh, tetapi jiwa dan fitrah manusia.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tidaklah muncul perbuatan keji dalam suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan akan tersebar dalam kalangan mereka penyakit dan wabak yang belum pernah muncul dalam kalangan umat sebelum mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam dunia yang semakin celaru ini, Islam tampil bukan sebagai agama larangan, tetapi sebagai sistem penyembuhan. Ia menawarkan cinta yang membebaskan jiwa, rahmat yang membina semula harga diri, dan cahaya yang membimbing manusia keluar dari gelap ketidaktentuan menuju terang fitrah insani.
DR RASHNURHANA AB RASHID – HARAKAHDAILY 16/6/2025
Rujukan Ilmiah dan Rasmi
1. Kementerian Kesihatan Malaysia (2021). Laporan Kemajuan HIV & AIDS Malaysia.
https://www.moh.gov.my
2. Malaysia AIDS Council (MAC). HIV Data.
https://mac.myaids.org.my/hiv-data/
3. UNAIDS (2022). Global HIV Statistics – Fact Sheet.
https://www.unaids.org
4. Al-Ghazali (Ihya’ Ulumuddin): Bab Tazkiyatun Nafs
Dr. Malik Badri (2000). Contemplation: An Islamic Psychospiritual Study
5. Al-Quran dan Hadis Sahih: Tafsir Ibnu Kathir & Sahih Ibnu Majah
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











