‘Himpunan Turun Anwar’ tepat pada masanya

'Ini bukan soal parti, ini soal rakyat yang mahukan perubahan sebenar’

Nor Jafni Noor Kamaruzaman.
- Advertisement -

SELAYANG: Himpunan Turun Anwar (HTA) pada 26 Julai ini disifatkan sebagai tindakan tepat pada masanya bagi menyuarakan kegagalan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Pemuda PAS Kawasan Selayang, Nor Jafni Noor Kamaruzaman.

- Advertisement -

Beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Woo Kah Leong yang mengkritik penganjuran himpunan itu membuktikan beliau cetek serta tidak memahami denyut nadi rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai tekanan ekonomi.

“Masalah seperti isu tong gas LPG komersial, kelemahan penguatkuasaan undang-undang jalan raya sehingga rakyat dikejutkan dengan kes kemalangan bas pelajar UPSI.

“(Termasuk) kenaikan cukai SST yang membebankan rakyat serta pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA).(Ia) hanyalah simptom kepada satu masalah tunjang iaitu kegagalan Perdana Menteri dalam mentadbir negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketidakmampuan Anwar mengurus kabinetnya turut terbukti melalui pengunduran dua menteri penting iaitu Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang jelas mencerminkan kelemahan serius dalam kepimpinan beliau.

“Rakyat semakin hari semakin tertekan dan merasa dikhianati oleh kerajaan yang kononnya menjanjikan reformasi, namun realitinya hanya omong kosong.

“Oleh itu, kami menyeru agar Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur secara terhormat agar negara dapat ‘reset’ semula dan kembali menumpukan kepada kesejahteraan hidup rakyat terbanyak,” gesanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang mahu melihat masa depan negara lebih baik, supaya turun beramai-ramai menyertai HTA yang akan diadakan pada 26 Julai 2025 (Jumaat) di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

“Jika dahulu PH boleh berhimpun mendesak Undur Najib, maka hari ini, Pemuda PAS berhak membawa suara rakyat untuk menuntut Turun Anwar. Ini bukan soal parti, ini soal rakyat yang mahukan perubahan sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -