Projek rumah: Rakyat mahu pembelaan, bukan alasan

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mendesak Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) supaya lebih telus dan serius dalam menangani isu kelewatan Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram, di sini yang kini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, meskipun LPHP sudah memberikan respon mengenai projek itu, namun kenyataan tersebut masih belum meyakinkan pembeli rumah yang terus dibebani ansuran bulanan tanpa menerima rumah seperti dijanjikan.

“Kami menyambut baik kesediaan pihak LPHP memberikan respon, namun berpandangan bahawa penjelasan tersebut masih belum menjawab sepenuhnya kegelisahan rakyat.

“Pemuda PAS Pahang ingin menegaskan bahawa isu rumah mampu milik ini bukan sekadar soal teknikal atau laporan di atas kertas semata-mata. Ia melibatkan nasib ratusan pembeli yang kini berdepan beban kewangan yang sangat mencengkam membayar ansuran pinjaman bulanan tanpa melihat bayang rumah yang dijanjikan.

“Kami berpandangan bahawa kemajuan fizikal hanya pada tahap 44 peratus selepas lebih setahun berjalan (bermula awal 2024) adalah tidak meyakinkan. Tambahan pula, kenyataan LPHP menyebut projek ini dijangka siap menjelang Mac 2026,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, tindakan LPHP yang hanya meminta pemaju menambah pekerja di tapak projek dilihat tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan penalti yang lebih tegas.

“Persoalan utama yang perlu dijawab apakah jaminan bahawa projek ini tidak akan tergendala lagi? Adakah pembeli akan diberi pampasan sewajarnya atas kelewatan ini?

“Kami juga ingin mengingatkan LPHP bahawa rakyat hari ini lebih cakna dan tidak mudah dikelirukan dengan kenyataan retorik. Setiap kelewatan membawa implikasi besar, bukan sahaja dari sudut kewangan, tetapi juga emosi dan kestabilan keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda PAS Pahang mendesak tiga langkah segera iaitu menerbitkan laporan kemajuan bulanan secara terbuka, mewujudkan saluran komunikasi khas untuk pembeli, serta menjelaskan tindakan bakal diambil terhadap pemaju yang gagal memenuhi sasaran.

“Kami menyeru LPHP dan kerajaan negeri untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan hanya menjaga hubungan baik dengan pemaju. Rakyat mahukan rumah, bukan alasan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2025

- Advertisement -