
KANGAR: PAS Negeri Perlis menggesa agar tindakan segera dan menyeluruh diambil bagi menjamin keselamatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) susulan tragedi kemalangan ngeri yang telah meragut beberapa nyawa mahasiswa baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, audit teknikal berkala perlu diwajibkan ke atas semua syarikat pengangkutan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelajar IPT, bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan penggunaan teknologi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan kamera ‘dashcam’ secara mandatori ke atas setiap bas sewa yang membawa pelajar.
Di mana tegasnya, sistem ini harus diselaraskan bersama pemantauan bersepadu oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ini bukan masanya untuk menuding jari, tetapi untuk memastikan tragedi ini menjadi titik tolak pembaharuan sistemik terhadap keselamatan pengangkutan pelajar. Kita perlu belajar dari kesilapan dan segera memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Mengulas lanjut, Asrul turut mencadangkan semakan semula reka bentuk jalan, terutamanya di laluan berisiko seperti jalan Jeli-Gerik yang sering terlibat dalam kemalangan serius.
Beliau menekankan keperluan penambahbaikan infrastruktur seperti pencahayaan, sistem amaran awal dan tanda amaran khas di kawasan cerun serta selekoh berbahaya.
Lebih jauh daripada itu, beliau mencadangkan penubuhan sebuah Dana Nasional khusus untuk membantu pelajar IPT dan keluarga mereka sekiranya terlibat dalam tragedi pengangkutan.
Dana ini menurutnya, harus meliputi kos rawatan, pengebumian serta bantuan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa.
“Sudah tiba masanya negara memiliki satu mekanisme bantuan khusus kepada pelajar IPT yang terlibat dalam musibah. Jangan tunggu sampai ada tragedi besar baharu mahu bertindak,” tegasnya.
Beliau juga menyarankan agar latihan keselamatan secara berkala untuk pemandu bas turut diwajibkan, merangkumi aspek pematuhan prosedur keselamatan, pengurusan tekanan dan pemanduan berhemah.
“Pemandu bas bukan sekadar membawa penumpang, mereka membawa amanah ibu bapa dan masa depan negara. Maka mereka mesti dilengkapkan dengan latihan dan kesedaran secukupnya,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan simpati mendalam kepada semua keluarga mangsa tragedi, serta mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Perlis agar menadah tangan memohon doa buat mereka.
“Semoga roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh. Dan semoga mereka yang cedera diberikan kesembuhan yang cepat dan sempurna,” ujar beliau.
Asrul berkata, keselamatan pelajar perlu menjadi agenda nasional yang diangkat dengan serius, dan tidak lagi bersifat reaktif atau bermusim setiap kali berlaku kemalangan.
“Saban tahun kita mendengar tragedi melibatkan pelajar, namun respons kita masih bersifat pentadbiran dan bukannya sistemik. Sudah tiba masanya kita ubah pendekatan,” tegasnya lagi.
Beliau turut menyeru Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan Tinggi agar merangka garis panduan keselamatan pengangkutan pelajar yang komprehensif dan mengikat, bukan sekadar berbentuk garis panduan am atau bergantung kepada budi bicara universiti semata-mata. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











