Kerajaan digesa naik taraf segera Jalan Gerik–Jeli

Lebih perlu berbanding LRT Pulau Pinang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Dr Izani Husin menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menaik taraf aspek keselamatan Jalan Gerik–Jeli susulan tragedi kemalangan maut yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI, kelmarin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri itu dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau menyifatkan tragedi tersebut sebagai amat menyayat hati serta satu kehilangan besar buat negara.

“Kemalangan ini sekali lagi menonjolkan kelemahan serius aspek keselamatan di laluan kritikal tersebut. Meskipun telah diumumkan peruntukan tambahan oleh PMX (Perdana Menteri ke-10) sebanyak RM30 juta pada tahun 2023.

“(Tetapi) keadaan jalan masih gelap, tiada pencahayaan dan tidak mempunyai garisan reflektif yang jelas. Ke manakah perginya peruntukan itu?” soalnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila laluan Persekutuan sepenting itu terus terpinggir berbanding projek mega lain yang mendapat keutamaan seperti pembinaan LRT di Pulau Pinang bernilai RM10.5 bilion.

“Dengan nilaian sebesar itu, laluan Jalan Gerik–Jeli adalah jauh lebih memerlukan. Keselamatan rakyat harus diutamakan tanpa kompromi,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, beberapa perkara lain juga perlu dikaji semula seperti keberkesanan dan keselamatan penghadang jalan yang sedia ada.

“Perlulah dikaji baik buruknya serta dilihat dari berbagai kemungkinan. Dalam masa yang sama, pihak bertanggungjawab perlu mencari alternatif yang lebih selamat dan praktikal seperti ‘concrete barrier, ‘wire rope barrier’ dan ‘roller barrier,’” katanya lagi.

Dr Izani turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk bekerjasama sepenuhnya demi keselamatan rakyat, yang seharusnya melangkaui sempadan politik.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam pemanduan.

“Jangan jadikan kecuaian sebagai punca kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -