
KUALA LUMPUR: Rancangan pemberhentian seramai 5,000 pekerja kontrak oleh PETRONAS atau 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya disifatkan sebagai satu perkembangan mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun mereka merupakan pekerja kontrak, ramai antara mereka telah lama berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas milik negara itu serta mempunyai keluarga yang perlu disara.
“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Adalah wajar pemberhentian mereka dibuat secara berperingkat selepas mereka dilatih dan kehidupan mereka agak terjamin. Ini termasuk latihan keusahawanan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri di atas kaki sendiri. Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap pertikaian yang masih belum selesai antara PETRONAS dan PETROS berhubung hak pengedaran gas di Sarawak yang dilihat menjejaskan pendapatan syarikat serta industri minyak dan gas negara.
“Beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025. Antara sebab utamanya ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan PETRONAS memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan PETROS.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja PETRONAS dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengingatkan kerajaan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada PETRONAS kerana hutang negara meningkat dan ekonomi lemah yang menjejaskan aliran tunai syarikat itu.
“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan PETRONAS dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan.
“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelestarian PETRONAS dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera,” katanya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz baru-baru ini mengumumkan pemberhentian itu dalam satu latihan penstrukturan semula syarikat milik negara itu yang mempunyai hampir 50,000 kakitangan.
Langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah, dengan semua pihak yang terlibat akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











