
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi negara yang disifatkan tidak tersusun dan kian membebankan rakyat serta institusi penting negara seperti PETRONAS.
Menurut beliau, situasi semasa menggambarkan pelaksanaan reformasi ekonomi oleh Kerajaan Madani sebagai tidak serius dan bercelaru sehingga turut memberi kesan besar kepada syarikat minyak negara itu yang dianggap sebagai ‘mesin ATM’ kerajaan.
“Yang terkorban akhirnya 5,000 rakyat yang bakal dibuang kerja. Tiada kenaikan pangkat dan pengambilan baharu. PETRONAS bukan syarikat luar, PETRONAS aset negara. Antara pemberi nafkah besar kepada negara.
“Dua tahun berturut-turut keuntungan PETRONAS jatuh teruk. Sepatutnya Kerajaan Madani bantu PETRONAS dengan barisan kebijaksanaan pemimpin yang ada,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut mengecam tindakan kerajaan yang dilihat terus menekan syarikat itu ketika harga minyak mentah dunia jatuh sehingga mengakibatkan rakyat di bawah terus menjadi mangsa akibat kegagalan pentadbiran.
“Setidak-tidaknya kurangkan dividen kepada negara. Biar PETRONAS bernafas dan kembali stabil dahulu. Kerajaan sudah banyak tarik duit rakyat melalui penarikan subsidi, cukai-cukai yang dinaikkan dan cukai baharu yang diperkenalkan.
“Semua dengan alasan untuk berjimat dan tambah hasil negara. Ke mana penjimatan itu pergi dan untungnya siapa? Yang pasti bukan rakyat, majoriti rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi hari ini,” katanya.
PETRONAS pada Khamis dilapor akan mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 pekerja susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah, dengan semua pihak yang terlibat akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini. – HARAKAHDAILY 8/6/2025











