SRITI Ibnu Aqil bakal beroperasi 2026, sasar kutipan RM2 juta

Ruselee Eizan
- Advertisement -

ARAU: Hasrat murni membina sebuah institusi pendidikan Islam berteraskan akidah dan tarbiah kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ibnu Aqil dijadualkan memulakan operasi seawal penggal pertama persekolahan tahun 2026.

- Advertisement -

SRITI Ibnu Aqil merupakan inisiatif terbaharu Yayasan Pendidikan Islam Ibnu Aqil, yang diasaskan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

Ia dibangunkan di atas tanah wakaf milik beliau sendiri di negeri Perlis, dan kini dalam proses giat mengumpul dana pembinaan sebanyak RM2 juta bagi menyiapkan fasa seterusnya.

Pengerusi Pembangunan Kompleks Ibnu Aqil, Ruselee Eizan berkata, pembangunan SRITI ini adalah kesinambungan daripada visi besar Tuan Guru untuk melahirkan generasi pewaris perjuangan Islam melalui sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersistematik.

“Ini bukan sekadar sekolah biasa. Ia medan mencetak generasi Islam yang rabbani mantap hafazan, tinggi akhlak, dan cemerlang akademik,” ujar beliau ketika ditemui HarakahDaily.

Dana RM2 juta yang disasarkan itu bakal digunakan untuk menyiapkan sebuah bangunan dua tingkat di mana akan menempatkan 12 bilik darjah dan empat unit tandas.

Kapasiti penuh SRITI ini dijangka boleh memuatkan seramai 360 pelajar, dengan kemasukan 60 orang murid setiap tahun dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

“Matlamat kita ialah membina tapak pendidikan kukuh yang mampu mencorak jati diri Islam dalam kalangan anak-anak, supaya mereka membesar dengan kesedaran perjuangan dan nilai-nilai agama yang kuat,” jelas Ruselee lagi.

Beliau turut menekankan bahawa pembinaan SRITI ini menjawab keperluan mendesak masyarakat setempat yang semakin cakna terhadap pentingnya pendidikan Islam bersepadu, terutama di peringkat awal usia kanak-kanak.

Daripada pondok ke SRITI

Sebelum ini, yayasan tersebut telah berjaya menyiapkan fasa awal pembinaan kompleks pendidikan tersebut, melalui pembinaan 40 unit pondok moden dengan kos keseluruhan mencecah RM1.48 juta, bersamaan anggaran RM37,000 setiap pondok.

Pondok-pondok ini kini berfungsi sebagai pusat pembelajaran agama untuk pelbagai lapisan umur.

Selain itu, yayasan turut berjaya menyiapkan sebuah musolla utama dengan kos RM1.2 juta yang menjadi pusat ibadah dan aktiviti pengajian untuk para pelajar, guru serta masyarakat sekeliling.

Menurut Ruselee, SRITI Ibnu Aqil akan menerapkan kurikulum Islam yang menyeluruh, merangkumi tahfiz al-Quran, akademik arus perdana, dan pembentukan akhlak Islami, di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Arau.

“Kita bukan semata-mata mahu melahirkan pelajar yang tahu membaca dan mengira, tetapi insan yang tunduk kepada Allah SWT, berakhlak, dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden dengan jiwa Islam yang mantap,” katanya.

Pihaknya juga menjelaskan, pendidikan Islam bukan sekadar medan pencapaian akademik, tetapi satu medan pembinaan insan yang berpaksikan fikrah Islam, menghayati ilmu, dan terdidik dengan semangat dakwah sejak kecil.

“Inilah kunci untuk membentuk masyarakat madani dan negara yang bertunjangkan nilai Ilahi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya masyarakat di negeri Perlis, agar tampil menyokong usaha pendidikan ini melalui sumbangan dan wakaf.

“Kami menyeru individu, keluarga, syarikat korporat mahupun institusi untuk tampil menyumbang demi menjayakan pembinaan SRITI ini. Sasaran RM2 juta ini amat penting untuk memastikan sekolah ini siap tepat pada waktunya dan menerima kemasukan pelajar pada 2026,” jelas Ruselee.

Sumbangan boleh disalurkan terus menerusi https://app.herepay.org/ypislamibnuaqil/pf_0007.

Projek SRITI Ibnu Aqil juga membawa misi amal jariah berterusan, dengan konsep wakaf pendidikan sebagai asas pembiayaan dan pentadbiran jangka panjang.

Ruselee mengingatkan bahawa menyumbang kepada institusi pendidikan Islam adalah satu pelaburan akhirat yang kekal nilainya.

“Sebagaimana sabda Nabi SAW, ‘Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya’. Inilah peluang kita untuk merebut saham akhirat,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak dan krisis identiti yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda hari ini.

Justeru katanya, institusi seperti SRITI Ibnu Aqil adalah benteng utama dalam menyelamatkan generasi akan datang daripada gelombang sekularisme dan hedonisme yang mencengkam masyarakat.

Ruselee turut menegaskan bahawa pembinaan SRITI ini hanyalah permulaan kepada sebuah rantaian pendidikan Islam yang lebih besar di bawah naungan fikrah perjuangan PAS.

“SRITI ini bukan destinasi akhir. Ini permulaan kepada kesinambungan pendidikan Islam dari peringkat rendah ke menengah, dan insya-Allah ke peringkat pengajian tinggi satu hari nanti,” jelasnya.

Beliau  berharap agar usaha ini mendapat sambutan seluruh masyarakat Islam di Malaysia, dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memperkasa pendidikan Islam melalui wakaf dan sumbangan umat.

“Inilah jalan menuju perubahan sebenar. Membangunkan umat melalui ilmu, akhlak dan ketundukan kepada Allah SWT. Semoga Allah memberkati usaha ini dan membuka hati masyarakat untuk bersama menjayakannya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/6/2025

- Advertisement -