
BACHOK: Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan segera kepada 26 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, Selasa lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Huzaimy Husin berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui Tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Katanya, pihak Pusat Khidmat DUN telah mengenal pasti sebanyak 26 buah rumah rosak, termasuk enam rumah di Kampung Kemasin yang merupakan kawasan paling teruk terjejas.
Menurut Huzaimy, sebagaimana amalan biasa, Kerajaan Negeri pantas menyalurkan bantuan awal untuk mangsa terjejas agar mereka dapat kembali meneruskan rutin kehidupan seperti biasa.
“Sekiranya ada mangsa yang memerlukan bantuan tambahan, terutamanya golongan kurang berkemampuan, kita akan bantu supaya mereka boleh kembali mendiami rumah masing-masing,” katanya ketika turun menziarahi mangsa-mangsa terlibat.
Tambah beliau, satu tabung derma juga akan dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang memerlukan.
Ribut tersebut turut menyebabkan kerosakan di Kemasin Beach Resort (KBR), kawasan peranginan terkenal di Pantai Irama.
Salah seorang mangsa, Mansor Ismail, 51, berkata rumahnya mengalami kerosakan hampir 80 peratus apabila bumbung diterbangkan angin sejauh kira-kira 30 meter dan sebahagian dinding rumah roboh.
Kejadian berlaku sekitar jam 7:30 malam ketika beliau dan keluarga sedang bersiap menunaikan solat Maghrib.
Beliau bersyukur kerana tiada kecederaan menimpa ahli keluarganya dan turut melahirkan rasa terharu atas keprihatinan ADUN dan Kerajaan Negeri yang turun meninjau serta menyampaikan bantuan segera.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0399541000389912 atas nama anak beliau, Nur Izati Husna Mansor. – HARAKAHDAILY 6/6/2025













