
PADANG TERAP: Seramai 63 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, diraikan pada satu majlis, di sini kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Mat Amin berkata, majlis itu sebagai menghargai segala usaha pelajar berkenaan meraih kecemerlangan pada peperiksaan tersebut.
“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya, bukan sahaja menggembirakan hati kedua ibu bapa, tetapi juga mengharumkan nama sekolah serta menjadi kebanggaan penduduk kampung,” katanya pada hantaran ke Harakahdaily, semalam.
Mereka yang diraikan itu menerima sumbangan berupa wang tunai serta plug sebagai cenderahati pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Pedu dengan turut dihadiri isteri beliau, Noraini Ali.
“Mereka yang kita jemput dan rai ini, kebanyakannya beroleh 5A hinggalah 12A dalam SPM, dari pelbagai sekolah di dalam DUN Pedu.
“Walaupun sumbangan yang PKWR DUN Pedu hulurkan tidaklah seberapa, tetapi saya mengharapkan ia menjadi penggalak kepada mereka untuk terus berjaya di masa depan,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Mohd Radzi turut berpesan agar terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita, sekali gus membantu mengubah taraf hidup keluarga.
Beliau juga pesannya, jauhi perkara yang boleh membawa kerosakan dan kemusnahan yang akhirnya mengakibatkan kehancuran serta kecundang dalam kehidupan.- *HARAKAHDAILY 5/6/2025*











