Jawatan PM tak harus jadi perisai diri mohon imuniti

Anwar perlu hadapi proses kehakiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan penolakan terhadap permohonan rujukan undang-undang Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai imuniti adalah selari dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan doktrin pemisahan kuasa.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi perisai diri oleh mana-mana pihak untuk mengelak daripada dibicarakan di mahkamah.

“Sesiapa pun yang memimpin negara, beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan tauladan kepimpinan kepada rakyat, dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka, demi imej serta kemuliaan Institusi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membidas alasan diberikan Anwar bahawa permohonan itu bertujuan melindungi jawatan awam tertinggi negara daripada sebarang ‘litigasi bermotifkan politik’ atau ‘mengganggu institusi’.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Larut itu, sistem perundangan di Malaysia telah pun mempunyai mekanisme bagi menapis saman yang remeh atau berniat jahat.

“Konsistensi adalah penting, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolaholah kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah.

“Berbanding ‘motif politik’, ia merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan Anwar yang juga Menteri Kewangan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung saman sivil difailkan bekas pembantunya, Yusoff Rawther.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -