
IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mengecam keras tindakan Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong memuat naik hantaran di media sosial berbentuk karikatur badut menghina Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria.
Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, tindakan itu bukan sahaja biadab, malah mencerminkan ketandusan adab serta kematangan politik dalam kalangan kepimpinan muda DAP hari ini.
“Karikatur tersebut bukan sekadar tidak beretika, bahkan melangkaui batas perbezaan pandangan politik yang sihat. Ia merupakan satu serangan peribadi yang memperlekeh suara rakyat yang dibawa oleh Ketua Pembangkang di dalam Dewan Negeri.
“Lebih mengecewakan, tindakan ini menunjukkan kegagalan DAPSY untuk meraikan perbezaan pandangan secara matang, sebaliknya memilih untuk mempermain dan merendah-rendahkan lawan melalui visual yang menghina,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu turut menegaskan bahawa pemimpin DAPSY perlu faham bahawa budaya ‘politik karikatur’ bukanlah lambang demokrasi, debaliknya, ia adalah petanda muflis hujah dan cetek pemikiran.
“Jika benar DAP menjunjung prinsip demokrasi, maka hujah sepatutnya dibalas dengan hujah. Sekiranya terdapat kenyataan Razman Zakaria yang tidak dipersetujui, ia wajar dijawab secara berfakta dan beradab, bukannya dengan penghinaan visual yang menjatuhkan maruah peribadi.
“Lebih mengejutkan apabila pemimpin DAPSY itu mempersoalkan keperluan laporan polis terhadapnya dan menyifatkan tindakan itu sebagai sekatan terhadap kebebasan bersuara. Ini menimbulkan persoalan, adakah DAPSY sebenarnya ‘jahil’ akan konsep sebenar budaya demokrasi?
“Atau sedang menuai ‘hasil ‘daripada politik yang semakin menghampiri wajah politik kuku besi? Apa jua alasannya, kami ingin tegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan tiket untuk menghina dan memperlekeh pihak lawan,” tegasnya.
Justeru, pihaknya menyokong penuh siasatan polis yang sedang dijalankan dan mendesak agar tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang, termasuk bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami turut menyeru anak muda seluruh negara untuk menjauhi politik kebencian dan sebaliknya memperjuangkan politik yang berteraskan nilai, hujah dan adab. Rakyat tidak lagi memerlukan parti atau pemimpin yang menjadikan penghinaan sebagai senjata politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











