LPT2: Rancang perjalanan selamat pulang raya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Para pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang bercadang untuk pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sempena cuti perayaan Aidiladha pada bulan Jun ini.

- Advertisement -

Menurut kenyataan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2), pihaknya menjangkakan peningkatan trafik yang ketara sehingga 60,000 kenderaan sehari pada hari-hari Puncak iaitu pada 5 dan 6 Jun serta 8 hingga 9 Jun 2025.

“Rancang perjalanan musim perayaan dengan MyPLUS-TTA LPT2 Sdn Bhd telah bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan ini.

“Untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, LPT2 menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.

“Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 5 Jun hingga 10 Jun 2025 sempena perayaan Aidiladha yang akan datang,” katanya.

Pihaknya turut mencadangkan orang ramai menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 Jun hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha.

“Inisiatif ini adalah sebahagian usaha LPT2 untuk meningkatkan keselesaan para pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu,” katanya.

Selain itu,  LPT2 juga akan memastikan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan yang boleh mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh berkenaan, kecuali untuk kerja-kerja kecemasan.

“Bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya LPT2 bermula 5 Jun hingga 9 Jun 2025 kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.

“Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai sepanjang tempoh perayaan Aidiladha kali ini, LPT2 turut mengambil beberapa langkah lain yang merangkumi persediaan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Antaranya menyediakan lebih 300 keseluruhan petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza-plaza tol dan pusat pemantauan trafik,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan keselesaan pengguna, lebih 160 anggota RELA turut bersiap sedia di plaza tol, kawasan rehat dan rawat (R&R) hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna.

“LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas dan surau yang turut disediakan di plaza-plaza tol terdekat,” katanya.

Pengguna lebuh raya juga disaran memanfaatkan aplikasi navigasi Waze dan Google Maps, selain mendapatkan maklumat trafik terkini melalui X@lpt2trafik, papan tanda elektronik (VMS), atau menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220.

“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps untuk merancang laluan yang akan digunakan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -