
KEMAMAN: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor menyifatkan rakyat Terengganu sebagai pengundi yang bijak kerana terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau menyifatkan tema ‘Teguh Memimpin’ sebagai simbol komitmen PN untuk terus berprinsip, istiqamah, serta memikul amanah rakyat dengan jujur dan telus.
“Allah memberikan ruang dan peluang untuk kita berkumpul pada malam ini. Kenapa kita dikumpulkan dalam satu Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT)? Himpunan yang kita lihat sebelum ini, ‘Teguh Pertahan’. Hari ini kita ‘Teguh Memimpin’ Terengganu.
“Teguh bermakna kita mesti berprinsip dengan prinsip yang betul. Kita mesti terus istiqamah dengan jalan yang benar. Kita mesti terus juga memikul tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya dalam ucapan Himpunan TMT 1.0 di Padang Astaka, di sini semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti dan warga Terengganu atas kejayaan PN menguasai semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15, menyifatkannya sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang berprinsip.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah, bukan saja kepada kepimpinan di seluruh peringkat Terengganu, tetapi yang saya alu-alukan dan sangat hargai kepada seluruh warga Terengganu sebagai pengundi yang bijak kerana anda memilih dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan PN, Alhamdulillah,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Terengganu agar terus menyokong PN dalam PRU16, memandangkan kejayaan pentadbiran negeri dalam melaksanakan manifesto mengikut jadual walaupun sering diselewengkan oleh pihak luar.
“Kenapa saya kata begitu? Kerana kita dapat membuktikan bahawa segala pelaksanaan susur atur dan takbir yang dilaksanakan di peringkat kerajaan Terengganu.
“Walaupun sampai di luar sana ada kalanya diselewengkan (maklumat), tetapi rakyat Terengganu lebih faham, lebih tahu bagaimana kerajaan berusaha untuk menunaikan segala manifesto mengikut jangka masa yang ditetapkan. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, turut menyatakan harapannya agar rakyat di Pahang dapat memberi peluang kepada PN dalam pilihan raya akan datang, selepas melihat kejayaan PN di Terengganu.
“Saya berada di Pahang. Negeri yang masih lagi berada dalam pentadbiran UmDAP (Umno dan DAP). Sama dengan pemerintah dalam peringkat Persekutuan. Sudah pastilah, gaya langkahnya pun hampir sama.
“Apa yang saya nak utarakan? Kami di peringkat Pahang berusaha, kalau Terengganu dalam PRU14, kerusi yang dimenangi sebanyak 22 di peringkat PAS dan sepuluh Barisan Nasional (BN); dan dalam PRU15, habis sapu bersih 32 kerusi, syabas.
“Kami di Pahang, PN ada 17 kerusi DUN. BN adalah 18 kerusi, satu sahaja lebih. Satu pun kerana dalam pilihan raya yang terakhir, DUN Tioman memenangi hanya 500 undi. Kita letakkan calon Muslimat di DUN itu.
“Tapi belum lagi mungkin masanya, Insya-Allah, kami mengharapkan Muslimat yang kami letakkan di DUN Tioman akan diangkat sebagai Yang Berhormat dalam PRU16. Tolong doakan kejayaan kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











