Rakyat tolak, tapi kerajaan beri lesen kilang vape

Syarikat vape ganja dari Amerika Syarikat

Dr Ahmad Yunus Khairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani telah gagal meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan kerana yang dilihat hanyalah keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan kemusnahan jangka panjang terhadap generasi Malaysia.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian susulan sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di Ispire Technology Inc, California, Amerika Syarikat, yang memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.

“Sudah tiba masanya rakyat bangkit dan menuntut pertanggungjawaban. Kita tidak boleh berdiam diri ketika masa depan anak-anak kita digadai demi kepentingan industri yang rakus dan tidak berprinsip,” katanya.

Ahmad Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, pendedahan itu amat mengejutkan dan membimbangkan kerana mencerminkan satu keputusan tidak bertanggungjawab.

“Hal demikian boleh menggadaikan kesihatan awam demi membuka ruang kepada industri yang terbukti memberi kesan negatif terhadap generasi masa depan.

“Kilang seluas 86,000 kaki persegi di Senai, Johor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 61 juta peranti atau 107 juta pod sebulan, bukan sahaja berisiko menjejaskan rakyat Malaysia, malah menyumbang kepada penyebaran produk merosakkan ini ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat turut mempersoalkan kerajaan adakah sudah bersedia menanggung kos perubatan yang besar akibat peningkatan ketagihan nikotin dan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Selain itu, apakah jaminan bahawa vape ganja tidak akan disalah guna dalam pasaran tempatan? Apakah nilai sebenar kesihatan rakyat jika kerajaan tunduk kepada tekanan industri demi hasil cukai yang tidak seberapa?” persoalnya.

Beliau berkata, tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun, membenarkan penggunaan vape dan seterusnya meluluskan pengilangan adalah langkah ke belakang yang membatalkan segala usaha telah dirintis melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

“Lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Malaysia ke Jepun baru-baru ini menambahkan lagi ironi. Jepun, sebagai negara maju, melarang penggunaan vape demi menjaga kesihatan awam.

“Namun Malaysia, sebaliknya membuka pintu seluas-luasnya kepada industri ini. Lebih mengecewakan, tiada suara lantang dari pihak Kementerian Kesihatan untuk mempertahankan kesihatan generasi akan datang.

“Di manakah prinsip dan tanggungjawab moral kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat?” persoal beliau yang juga Ketua Portfolio Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Terdahulu, kerajaan meluluskan lesen interim pertama bagi pembuatan nikotin di Malaysia kepada sebuah syarikat asing berpangkalan di Ispire Technology Inc, Amerika Syarikat, yang turut terlibat dalam penghasilan produk vape berasaskan ganja.

Perkembangan ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan awam sekiranya produk tersebut akhirnya dipasarkan dalam negara, tetapi juga boleh menjejaskan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Oleh kerana dilihat seolah-olah bersubahat dalam penghasilan dan pengedaran peranti yang tidak menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan manusia. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -