
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Terengganu menyatakan penolakan tegas terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh masa kedua tahun ini.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa menyifatkan tindakan menaikkan harga petrol pada saat rakyat sedang dihimpit krisis kos sara hidup sebagai tidak bijak dan zalim.
“Ini bukan sahaja satu langkah tidak bijak, malah menunjukkan betapa kerajaan hari ini terus-menerus menindas rakyat yang sedia terbeban, ibarat menambah garam di luka yang belum kering.
“Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk memahami bahawa apabila harga petrol naik, segala-galanya akan turut melambung. Kos pengangkutan meningkat, seterusnya mendorong kenaikan harga barangan asas. Siapa yang akan paling terasa?
“Orang muda. Golongan belia yang baru memulakan hidup, yang bergelut dengan gaji rendah, sewa rumah, hutang pendidikan dan kini terpaksa bersiap sedia membayar harga makanan dan keperluan harian yang bakal mencanak. Inikah ‘madani’ yang dijanjikan?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan janji kerajaan semasa kempen pilihan raya lalu untuk menurunkan harga minyak, yang menurutnya kini hanya tinggal retorik apabila rakyat pula diminta bersedia untuk membayar lebih.
“Masih segar dalam ingatan rakyat bagaimana pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang berjanji menurunkan harga minyak semasa kempen pilihan raya lalu. Rakyat dihidangkan dengan retorik kononnya minyak akan murah apabila mereka mengambil alih Putrajaya.
“Hari ini, bukan sahaja janji itu tidak ditunaikan, malah rakyat pula diminta bersiap sedia untuk membayar lebih. Ini bukan sekadar kegagalan ini penghinaan terhadap kepercayaan rakyat,” katanya.
Menurut Harun, kerajaan sepatutnya memperkenalkan mekanisme yang lebih kukuh dan menyeluruh untuk melindungi pengguna biasa sebelum mengambil sebarang langkah penarikan subsidi.
“Rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi yang semakin mencengkam. Gaji tidak meningkat, peluang pekerjaan makin sempit, bantuan bersifat ‘one-off’ dan tidak bersifat jangka panjang.
“Sementara kos hidup terus mendaki tanpa belas kasihan. Apakah rasional untuk menambah beban mereka pada saat rakyat sedang nazak dari segi kewangan?
“Apa pelan kerajaan untuk mengawal kesan kenaikan harga RON95? Setakat ini, hanya alasan yang kita dengar. Tiada mekanisme kukuh untuk melindungi pengguna biasa.
“Sistem subsidi bersasar yang diwar-warkan masih kabur, pelaksanaannya tempang dan penuh ketidaktentuan. Yang pasti rakyat akan membayar lebih, manakala menteri-menteri tetap menikmati elaun dan kemudahan kelas pertama,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda PAS Terengganu menyifatkan cadangan menarik subsidi minyak sebagai tindakan bacul dan tidak bertanggungjawab.
“Dewan Pemuda PAS Terengganu melihat cadangan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, bahkan memperlihatkan betapa kerajaan kini telah hilang arah dalam mengurus ekonomi negara.
“Menarik subsidi minyak pada waktu rakyat sedang susah adalah tindakan yang bacul dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak agar kerajaan membatalkan cadangan tersebut dan mencari pendekatan lebih berhemah serta adil untuk menangani isu fiskal negara.
“Kami mendesak kerajaan menghentikan segera niat untuk melaksanakan rasionalisasi ini. Rakyat bukan tempat untuk ‘eksperimen fiskal’.
“Jika kerajaan tidak mampu mencari penyelesaian lebih adil dan berhemah, maka wajarlah mereka menyerahkan mandat kepada pihak yang lebih amanah dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025











