
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia diseru mengambil peluang sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 untuk memperkukuhkan sektor pelancongan negara dengan mengesyorkan lebih banyak destinasi tempatan, khususnya Melaka, kepada pasaran serantau dan antarabangsa.
Presiden dan Pengasas Persatuan Usahawan Antarabangsa Asia Pasifik, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, ASEAN merupakan platform strategik boleh dimanfaatkan sepenuhnya Malaysia untuk mempromosikan destinasi pelancongan tempatan secara efektif dan menjimatkan kos.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk menjimatkan kos promosi ke luar negara. Malaysia seharusnya menghantar lebih ramai wakil ke negara-negara jiran ASEAN bagi mempromosikan tarikan pelancongan kita, terutama negeri yang kaya dengan warisan sejarah seperti Melaka,” ujar beliau.
Dr Shawn yang juga Naib Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka dan Pengarah Khidmat Malaysia DHPP Pusat menyatakan bahawa pelancongan domestik dan serantau harus menjadi teras utama pemulihan ekonomi pasca pandemik dan dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
Beliau menekankan bahawa Melaka mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa kerana sejarahnya yang unik, tapak warisan dunia UNESCO, serta memiliki gabungan budaya pelbagai.
Ancaman siber jejas ekonomi pelancongan serantau
Dalam masa sama, Dr Shawn turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah siber di negara-negara ASEAN, termasuk penipuan dalam talian dan sindiket pekerjaan palsu yang turut memberi kesan kepada ekonomi dan imej pelancongan rantau ini.
Mengimbas kejadian baru-baru ini, Dr Shawn berkongsi pengalaman peribadi apabila beliau menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa anaknya memerlukan wang segera sebanyak RM20,000 sebagai jaminan untuk gaji.
“Mujur tindakan pantas keluarganya dan bantuan pihak polis berjaya menyelamatkan anaknya yang dipercayai menjadi sasaran penipuan. Kejadian ini mencerminkan bagaimana jenayah siber bukan sahaja mengancam individu tetapi turut mengganggu kestabilan sosial dan ekonomi negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau menyeru kerjasama serantau yang lebih utuh dalam menangani jenayah siber sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan ASEAN yang lebih holistik.
ASEAN sebagai platform pemulihan ekonomi dan keselamatan
Mengulas landskap global yang semakin mencabar, Dr Shawn berkata negara-negara ASEAN perlu mengimbangi usaha memerangi jenayah dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan serta perdagangan mampan.
“Kita berhadapan ketidaktentuan ekonomi, persaingan geopolitik, dan cabaran rentas sempadan. Oleh itu, sektor pelancongan yang stabil dan selamat mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi serantau,” tambah beliau.
Dr Shawn turut menggesa agar Malaysia mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Melaka sebagai model destinasi pelancongan ASEAN yang selamat, menarik dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 28/5/2025











