Langkah Anwar mohon imuniti sivil satu kejanggalan

Dari aspek perundangan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan langkah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti daripada tindakan saman sivil berhubung dakwaan serangan seksual oleh bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau, Ahmad Fadhli menyifatkan tindakan itu sebagai mencerminkan ketakutan Perdana Menteri untuk berdepan proses kehakiman secara terbuka, walaupun dakwaan tersebut berlaku sebelum beliau menjawat jawatan tertinggi dalam negara.

“Kalau benar tidak bersalah, hadaplah di mahkamah. Jangan sembunyi di balik perisai jawatan Perdana Menteri,” tulisnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau juga menyifatkan langkah itu sebagai satu ‘kejanggalan dari sudut perundangan’, memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kekebalan mutlak kepada Perdana Menteri dalam tindakan sivil peribadi, apatah lagi kes berlaku sebelum beliau dilantik ke jawatan itu.

“Perkara 8 Perlembagaan jelas menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Tindakan ini, jika dibenarkan, mewujudkan preseden berbahaya di mana Perdana Menteri boleh menggunakan jawatannya untuk melindungi diri dari tindakan sivil yang sah,” tegas beliau.

Langkah Anwar itu dilaporkan dibuat menerusi permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan perbicaraan saman yang dijadual berlangsung Jun ini.

Ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati undang-undang dan masyarakat sivil, yang bimbang terhadap kemungkinan penyalahgunaan kuasa eksekutif.

Ahmad Fadhli menambah, tindakan Anwar ini bercanggah sama sekali dengan semangat reformasi yang selama ini dilaung-laungkan.

“Dulu laung reformasi, lawan pemimpin guna kuasa untuk lari dari mahkamah. Hari ini, bila diuji, retorik berubah jadi perisai untuk elak berdepan kebenaran,” katanya lagi.

Kes saman oleh Yusoff Rawther itu difailkan pada Julai 2021, dan menyentuh dakwaan kejadian pada 2018. Anwar telah menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan tuntutan balas.

Terdahulu, Anwar Ibrahim sebagaimana dilaporkan media, telah memohon Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada beliau sebagai Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman sivil.

Dengan alasan tindakan itu boleh menjejaskan keupayaannya melaksanakan tugas eksekutif sebagai ketua kerajaan. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -