
PADANG BESAR: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dibimbangi bakal menggugat kepentingan masyarakat setempat khususnya penduduk Melayu bandar.
Dewan Pemuda PAS Padang Besar justeru itu menyerahkan memorandum berkenaan RUU tersebut kepada Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi yang akan dibawa ke perhatian beliau menjelang sidang Parlimen akan datang.
Memorandum tersebut disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Besar, Ali Na’imi Ahmad Azizi bersama barisan Jawatankuasa Pemuda kawasan.
Turut hadir dalam majlis penyerahan itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Muhammad Mustaqim Abdullah.
Terdahulu, pada 23 Mei, memorandum bantahan terhadap URA turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.
Ia sebagai isyarat jelas penolakan terhadap cadangan pelaksanaan akta yang menurut mereka bakal menjadi alat penindasan terhadap penduduk asal di kawasan bandar.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar, Mohd Suhairi Ghazali berkata, sebarang bentuk pembangunan semula bandar wajib mengambil kira suara dan kebajikan rakyat tempatan.
“Cadangan dari Menteri DAP untuk menurunkan nilai ambang bagi pelaksanaan URA ini akan menjadi pisau yang dihunus kepada masyarakat Melayu, khususnya golongan miskin bandar.
“Ini bukan pembangunan yang adil, tetapi pengusiran terselindung,” ujarnya menegaskan bahawa penurunan nilai ambang akan membuka ruang yang luas kepada pemaju dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan pembangunan tanpa persetujuan majoriti penduduk asal.
Pemuda PAS Kangar menyifatkan ia sekali gus mencetus risiko kehilangan penempatan tradisi serta penyisihan kaum Bumiputera dari pusat-pusat bandar utama.
Pihaknya menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi benteng rakyat dalam mempertahankan hak dan tanah warisan.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Perlis untuk terus menyuarakan bantahan agar akta ini tidak diluluskan oleh Parlimen Malaysia,” katanya lagi.
Tegas beliau, rakyat tidak boleh sekadar bergantung harap kepada wakil-wakil rakyat semata-mata, sebaliknya perlu bersama-sama menunjukkan solidariti dan kesedaran dalam mempertahankan maruah tanah air.
Sidang Parlimen akan bermula pada 21 Julai 2025, dan URA dijangka menjadi antara topik utama perbahasan.
RUU ini dirancang kononnya sebagai satu inisiatif bagi mempercepatkan proses pembangunan semula kawasan-kawasan lama dan uzur di bandar-bandar utama.
Namun ia dikritik hebat kerana tidak menjamin kebajikan penduduk asal serta membuka ruang manipulasi oleh pihak pemaju. – HARAKAHDAILY 28/5/2025











