Tangguh dahulu rasionalisasi subsidi RON95 – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan langkah yang diumumkan Menteri Kewangan II itu sebagai mengecewakan, terutama ketika rakyat masih bergelut dengan beban kenaikan tarif elektrik dan air.

“Ketika rakyat masih terhuyung-hayang dengan kenaikan tarif elektrik dan air, kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal untuk orang ramai bertahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan ketidaktentuan kerajaan dalam menetapkan golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi, walaupun istilah itu selama ini dirujuk berdasarkan pendapatan isi rumah dalam laporan rasmi kerajaan.

“Lebih menjengkelkan, sehingga ke hari ini, kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi.

“Namun, jawapan-jawapan menteri di dalam Dewan Rakyat kebelakangan ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

“Ada yang mengatakan penilaian akan dibuat berdasarkan lokasi, ada yang kata berdasarkan perbelanjaan, ada pula yang mengisyaratkan penggunaan data e-dompet, MySejahtera, hingga maklumat langganan Netflix pun mungkin dijadikan kayu ukur!

“Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar yang gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?” soalnya.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap ketiadaan mekanisme yang jelas dalam memastikan subsidi sampai kepada golongan benar-benar layak menerima bantuan.

“Jika definisi pun tidak jelas, bagaimana pula mahu melaksanakannya dengan adil dan cekap?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurut beliau, PAS tidak menolak reformasi secara prinsip, namun menolak pendekatan terburu-buru yang menjadikan rakyat sebagai mangsa percubaan dasar ekonomi.

“Kita bukan anti-reformasi. Tapi kita anti kepada reformasi semberono yang meletakkan rakyat sebagai mangsa uji kaji dasar ekonomi.

“Reformasi ini bukan untuk rakyat jika ia dibina atas kekaburan, ketidakpastian dan beban berganda kepada mereka yang sudah lama tertekan,” tegasnya.

Ahmad Fadhli berkata, kerajaan sepatutnya menyelesaikan dahulu isu tarif dan memperjelas definisi T20 serta membuktikan mekanisme subsidi bersasar benar-benar menepati sasaran.

“Buktikan dulu bahawa mekanisme subsidi bersasar itu benar-benar bersasar, bukan sekadar sasaran politik.

“Kalau tidak, jangan salahkan rakyat kalau mereka anggap ini bukan lagi kerajaan yang peduli, tapi kerajaan yang perlahan-lahan mencabut nafas rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -