
PADANG TERAP: Penduduk parlimen Padang Terap, kini boleh mengajuka sebarang aduan atau permasalahan mereka dengan lebih mudah apabila Kaunter Bergerak Aduan Rakyat diwujudkan.
Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid memaklumkan, kaunter itu diwujudkan bagi memudahkan urusan pihaknya dan orang ramai, yang sebelum ini terpaksa ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya mempunyai permasalahan.
“Kaunter Bergerak Aduan Rakyat ini adalah program berkala yang dibuat pada setiap minggu di kampung-kampung atau taman perumahan seluruh kawasan Padang Terap.
“Dengan cara sebegini memudahkan orang ramai dan juga pihak saya dan lain-lain ADUN juga dapat mendekati dan mendengar secara dekat luahan masalah yang dihadapi rakyat,” jelasnya di sini.
Terdahulu katanya, kaunter tersebut telah diadakan di Kedai Daging TAF, Kampung Semeliang, Kuala Nerang, di sini.
“Sepanjang perkhidmatan kaunter bergerak itu, kami mendapat sambutan yang menggalakkan dan hampir 40 aduan diterima dalam tempoh tiga jam,” tambah beliau.
Semua aduan tersebut ujarnya, diterima dan akan diteliti serta berusaha menyelesaikan mengikut kesesuaian isu dengan pihak-pihak yang terlibat.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Nerang itu, turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.
Antara aduan serta permasalahan diterima pihak beliau, termasuklah isu harga barang serta kos sara hidup tinggi hingga memberi kesan kepada penduduk yang majoritinya penoreh getah. – HARAKAHDAILY 27/5/2025











